iman itu bukan hanya pada angan-angan dan cita-cita, bukan pula dengan bicara kata tetapi ia apa yang tersemat dalam jiwa dan dibuktikan pula dengan amalannya (langit ilahi 3 : fanzuru)

Pilihan dalam kehidupan

Assalamualaikum

2015. Satu tahun yang baru dan semoga kita mampu menjalani kehidupan dengan lebih baik, Maaf andai yang menanti penulisan ini (poyo je lebih) kerana terlambat sedikit untuk update. Kalau takde, ok je kot.. haha

Seperti biasa, terlampau banyak yang inginku coretkan namun dengan kekangan masa yang ada dek terlampau banyak aktiviti yang perlu diutamakan, tidak semua mampu ku coret agar mampu menjadi sesuatu yang bermanfaat untuk ummah. Jikalau mampu ingin sekali setiap perkara yang terlintas diminda ini dicoretkan agar mampu menjadi sumbangan kepada ummah.

Tahun baru dengan azam yang baru. Sudah tentu setiap daripada kita mempunyai target yang ingin dicapai dalam masa setahun. Azam atau target, bergantung kepada kita apa yang kita sasarkan setiap tahun. Ah, jikalau disenaraikan setiap satu, memang tidak pernah akan habis. Dan pada akhir tahun kita akan kembali menyelak senarai tersebut adakah kita sudah berjaya melaksanakannya atau tidak.
Ya! Jika diimbas kembali, sudah tentu banyak azam yang sudah kita senaraikan namun tidak berjaya melaksanakannya.




Buat masa sekarang, aku sedang bermuhasabah. Apakah yang aku rancang tahun lepas segalanya sudah terlaksana. Walaupun telah berbagai usaha yang aku lakukan adakah aku mampu melaksanakan semuanya. Ada dua perkara yang aku gusar sepanjang aku ingin melaksanakannya. Pertama aku takut memilih untuk melakukannya. Gusar pilihan itu tidak tepat dan akhirnya segala yang dirancang terbengkalai di tengah jalan. Kedua aku telah memilih. Adakah yang telah aku laksanakannya bertepatan dengan yang sudah dirancang oleh Allah dan akhirnya dengan perlaksanaan ini aku tidak mampu keluar dari pilihan aku. Akhirnya aku akan bahagia atau merana dengan pilihan yang telah aku lakukan. Namun, aku percaya dengan perancangan Allah kerana Dia adalah sebaik-baik perancang.

Tenang. Tarik nafas, hembus. Renung melihat awan berarak. Terus bergerak mengikut aturan yang telah ditetapkannya. Sesekali ke kiri. Sesekali ke kanan. Walaupun pecah ditiup angin, tetap bergerak. Begitulah kehidupan manusia. Kita perlu terus melangkah untuk meneruskan kehidupan. Andai goyah atau rebah, bangun dan melangkah kembali meneruskan kehidupan yang masih bersisa. Andai gusar dengan pilihan, berhentilah seketika untuk melihat kehidupan yang telah anda lalui, nescaya kau yakin akan pilihan yang telah Allah tetapkan. InsyaAllah.

Manusia sentiasa melihat hasil daripada usaha yang dilakukan. Tetapi Allah melihat usaha yang telah kita lakukan. Andai rebah dipertengahan jalan, yakinlah dengan rahmat Allah.

wassalam

Mont Blanc oct 2004.JPG


Adli Hakim:

Teruskan melangkah mengharungi kehidupan. Kita semua dalam perjalanan untuk pulang ke kampung halaman kita.


Daie bermata Lebah


بسم الله الرحمن الرحيم

Kita sebagai seorang daie sentiasa melaksanakan kerja-kerja dakwah. Dalam perlaksanaannya, kita sentiasa memerlukan bekalan di jalan ini. Hal ini secara tidak langsung akan membentuk cara kita melaksanakan kerja ini. Sebaliknya, tanpa iman yang mendalam (imaanul amiq) , adakah kita mampu melaksanakannya dengan sepenuh hati kita? Sudah tentunya tidak mampu kita laksanakan kerja dakwah ini.

Sebelum kita bercerita panjang mengenai perlaksanaan kerja-kerja dakwah, ingin sekali saya bawa pembaca untuk memahami apa itu dakwah.

Dakwah dalam bahasa Arab membawa maksud mengajak atau menyeru. Secara ringkasnya, menurut istilah, dakwah merupakan suatu usaha berterusan dan bersungguh-sungguh untuk mengajak manusia kembali kepada Islam, daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah yang satu. 

Jika disingkap kembali sirah nabawiyah, kita akan berjumpa dengan ramai sahabat yang semuanya menjadi seorang daie. Ungkapan seorang daie itu amat jelas sekali diungkapkan oleh ruba'i bin Amir, seorang panglima perang yang berhadapan dengan Rustum

“Kami datang untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia, kepada menjadi hamba kepada Allah SWT, dan mengeluarkan mereka dari kesempitan dan kezaliman agama-agama kepada keluasan dan keadilan Islam.”


Jelas di situ tugas seorang Dai'e.

Kalau kita berbicara mengenai amal kita, kita yakin bahawa sebaik-baik method yang diajarkan adalah method yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW dan method ini dipopularkan dan diberi nafas baru oleh Imam Syahid Hassan Al Banna dinamakan sebagai Usrah.

Proses perlaksanaan ini memerlukan perancangan yang tersusun rapi dan kita ingin mengislahkan masyarakat kita. Tugas seorang daie ini diibaratkan mencari permata dalam lumpur-lumpur hitam yang gelap dan tiada dasarnya. Memerlukan kesabaran dan kesungguhan untuk melaksanannya. Dan disitulah mulanya kita memilih para mad'u (objek dakwah) untuk dibentuk dan digilap.

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana”
(at-Taubah: 71)
See full size image

Seorang daie itu seharusnya mempunyai mata lebah. bagaimanakah yang dikatakan sebagai mata lebah itu? Sifat lebah itu dia mampu mencari bunga di dalam longgokan najis atau sampah sarap. Daie itu haruslah bijak mencari insan-insan yang mampu mencari agen pengubah kepada masyarakat dalam lautan manusia. Dia harus memilih benih yang baik untuk ditabur dan bercambah. Daie itu juga mampu mencari kebaikan di dalam mad'u mereka ini walaupun mereka ini dipalit seribu kejahatan. Kebaikan itu lah yang harus kita kembangkan dalam pada masa yang sama kita terus mengislahkan mereka.

Seandainya mereka ini bermata lalat, yang bertebangan di taman bunga mencari sampah sahaja. Walaupun berhadapan dengan manusia yang mempunyai seribu kebaikan, kita terus mencari sekecil-kecil kesalahan yang dilakukannya.

Ujian dan Cabaran

Assalamualaikum, agak lama sudah kita tidak bersua. Apa khabar pembaca sekali? Moga sentiasa berada dalam lembayung kasih sayangNya.

Pernah kah dalam hidup kita ini, kita diuji dengan ujian yang kita tidak mampu lalui? Sudah tentu setiap manusia ini pernah diuji. Kita diuji sehingga kita berasa tidak mampu menanggung ujian yang diberi.

" Mengapa aku yang diuji sebegini? Mengapa tidak dia?
Betapa berat nya ujian yang Allah berikan ini"


Ayat di atas seringkali kita dengar tatkala seseorang itu diuji. Dan tatkala diuji, kita mula hilang kewarasan dan membuatkan kita tidak mampu berfikir dengan tepat. Ketika inilah kita akan mula diperalatkan oleh syaitan untuk membuat keputusan diluar tabi'e kita.

Justeru itu, ingin saya kongsikan sepotong ayat

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ’Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi ?Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

al-ankabut ayat 2-3


Ujian dari Allah SWT

Orang yang mudah tersinggung dan mudah marah akan sentiasa diuji oleh Allah dengan orang yang akan membuatnya tersinggung dan marah sehingga dia bisa memperbaiki kelemehannya itu sehingga tidak mudah tersinggung dan tidak pemarah.

Orang yang Allah uji nya dengan kehilangan orang yang tersayang akan menjadikan seseorang itu menjadi lebih tabah dan kuat. Lihatlah para sahabat. Diuji dengan pelbagai bentuk ujian masih lagi tidak tergoyah imannya. Malah dengan ujian menjadikan dia lebih beriman kepada Allah.

Tidakkah kita hidup untuk mengejar keredhaan Allah? Kenapa kita mengalah tatkala kita diuji dengan ujian? Sesungguhnya Allah sedang mentarbiyah kita untuk menjadi lebih kuat. Dibentuk nya kita menjadi seorang priya yang dicintai oleh Allah.


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri, harta mereka dengan memberikan jannah untuk mereka…”At-Taubah : 111

Itu janji Allah kepada hambanya yang sentiasa bersabar dengan ujian yang dihadapinya.


daun dan ranting rapuh berguguran itu fitrah.. daun baru yang bertumbuhan segar juga fitrah... yang penting, pokok itu harus tetap tegap berdiri dan menjulang ke langit dan rendang meneduhi...
letih dengan ujian? sabarlah.

Rutin yang bosan


بسم الله الرحمن الرحيم


Saban kali kita melihat manusia disetkan dengan satu jadual masa dari detik kita mula mencelikkan mata sehinggalah kita memejamkan mata semula untuk mengumpulkan tenaga untuk kembali mengulangi rutin seharian hidup kita demi mencari sesuap nasi. Pernahkah terdetik di fikiran kita yang rutin itu sangatlah membosan kan hidup kita dan kita cuba menafikan keadaan kita itu dengan mengatakan kita bahagia hidup sebegitu.

Tidakkah kita sedar rutin kehidupan kita itu seolah-olah akan diulangi kembali oleh anak-anak kita tatkala mereka sudah membesar dan ingin mencari sesuap nasi pula untuk mereka. Dan rutin ini akan kembali semua diulangi oleh anak-anak mereka tatkala mereka sudah berusia, Rutin yang tak pernah berhenti? Betul? entah lah kalau rutin itu yang kita selesa dengan kehidupan kita.


opss!!

Mungkin ada yang sudah perasan. Rutin hidup kita ini seolah-olah satu kitaran robot. Setiap hari rutin ini diulang kali seolah-olah program yang telah disetkan kepada robot tanpa robot itu tahu mengapa dia di setkan sebegitu. Kitaran inilah yang sepatutnya kita keluar.

Tidakkah kita cuba mencari erti kehidupan kita yang sebenar? tujuan kita diciptakan ke dunia bukanlah semata-mata untuk bekerja demi meneruskan kehidupan tetapi sedarilah bahawa tujuan kehidupan 
kita lebih daripada itu sekali. Janganlah kita terus dibelenggu oleh kitaran robot itu. Nah. Allah berfirman dalam kitabnya:
Dan tidak AKU ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu." 
(Adz-Dzaariyaat 51:56)
Opss!! tak cukup lagi... sabar ye :)
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”.” (Al Baqarah : 30)


Cukuplah kot setakat tu. Karang ade yang terjun gaung sebab post ni.

muqaddimah: tasbih ukhuwah



Aku termenung, mengenangkan nasib yang tak seberapa itu. Mengeluh

Siapa sangka adik akan dijemput seawal itu. Walhal adik masih kuat dan muda. Di tenung kembali gambar di tangan. Angin lembut bertiup menerpa pipinya. Siapa sangka air mata aku akan gugur. Memori bersama satu-satu adik kesayangan aku bermain difikirannya.

"Assalamualaikum"

satu suara memecah gegendang telinga aku. Aku cuba mencari pemilik suara itu. Bila berpaling kelihatan tiada sesiapa pun di situ. Tiba-tiba gugur sebiji rambutan dari pokok mengenai kepalaku.Secara automatik aku berpaling ke atas. Kelihatan seorang remaja sedang berada di atas. Remaja tersebut senyum kepadaku. Aku hairan dari mana datangnya remaja itu.

"Ingat aku lagi Adam?" sambil tersenyum remaja tersebut bertanya.

Aku membongkokkan badannya mencapai gambarnya yang jatuh dek kerana rambutan yang dibaling mengenai kepala.

"kau nak ape hah? tak senang ke tengok orang termenung?"

"Eh, aku nak berkawan je. Kesian aku tengok kau sorang-sorang kat bawah pokok".

Aku berlalu meninggalkan remaja tersebut. Sakit hati dibuatnya apabila dia mengenangkan memori lama. Kisah silamnya dengan remaja tersebut. Disebabkan remaja tersebut Aku terpaksa berlari keliling kampung tanpa seluar.

Sebelum aku melangkah masuk pintu rumah mak long, aku berpaling kepada remaja tersebut.
Remaja tersenyum sambil makan buah rambutan. Di tanganku terdapat buah rambutan yang dibaling remaja tersebut. Aku membaling buah rambutan tersebut namun tidak mengenai remaja tersebut. Remaja tersebut masih lagi tersenyum sambil ketawa. Sakit hati dibuatnya.

"Mikhail. Aku masih tak lupakan kau!"

Mikhail masih tersengih.

-------------------------------------------------------------------------------------------------


"Mama, Adam nak duduk kampung boleh? kalau boleh nak mintak pindah sekolah dekat sana. duduk sini pun Adam rasa lonely. Mama dan Daddy pun jarang ade kat rumah."

"Ok, but once a month anak mama kena balik KL."

"No prob." Adam bangun lalu dari sofa masuk ke bilik

Mamanya hanya mampu melihat dari jauh. Sudah hampir sebulan Adam menjadi pasif. Sejak kematian adik kesayangannya, Adam banyak termenung seorang diri. Disuruh melancong bersama rakan Adam menolak. Walhal sebelum ini, Adamlah paling suka melancong bersama rakan.

Adam menghempaskan dirinya ke atas katil. Mungkin ini adalah terbaik untuknya. Berpindah ke kampung. Mungkin suasana kampung dapat mengubat kesunyian di hatinya. Mama dan Papa jarang sekali berada di rumah. Yang tinggal hanyalah bibik dan dia.Sedikit demi sedikit memori lampau bersama adiknya bermain difikiran.



------------------------------------------------------------------------------------------------- 

Seusai aku menyelesaikan pendaftaran dipejabat sekolah, guru kelas ku, Cikgu Safiah membawaku ke kelas. Aku bagai terlopong. Mikhail? Satu kelas? Tidak! Terasa ingin ku berpatah balik. Takkan aku terpaksa sekelas dengan Mikhail? Aku memandang Cikgu Safiah dengan harapan aku akan ditukarkan kelas, namun pandangan aku tidak diendahkan.

"Perkenalkan ini Adam."

Aku cuba mengukirkan senyuman. Namun bila melihat Mikhail tersenyum, aku rasa geram dengan tingkah lakunya. Aku pejamkan mata dan menarik nafas sedalam-dalamnya dengan harapan aku mampu bersabar menghadapi Mikhail.

"Nama saya Muhammad Adam Mukhriz, berasal dari Selangor. Saya harap lepas ni kita boleh berkenal-kenalan lagi."

"Adam boleh duduk di tempat yang sediakan dibelakang. Kalau ada apa-apa Adam boleh cari saya di bilik guru,"

Aku bergerak ke tempat duduk yang disediakan. Kebetulan pula kelas sudah tamat. Mikhail datang menghampiri aku dengan wajahnya yang sentiasa tersenyum. Aku pula membalas dengan renungan tajam.

"Ape kau nak? Tak puas kau baling rambutan hari tu?"

"Saje, nak bersembang dengan kau sahabat."

"Siapa sahabat kau? cakap dekat aku"

"Kau la Adam. Siapa lagi yang aku tengah bercakap,"

Aku bangun meninggalkan Mikhail tanpa menoleh. Sudah cukuplah dengan perbuatannya sewaktu kecil. Aku muak dan menyampah setiap kali aku melihat seyuman yang terukir di wajahnya. Seakan-akan dia cuba memujuk aku melupakan kisah lama.




bersambung...

Bila baju melayu bertemu baju kurung

assalamualaikum...

apa khabar agaknya pembaca di sana?

C.I.N.T.A merupakan satu fitrah yang wujud dalam diri kita dan aku yakin ramai yang pernah merasai cinta ini. cinta antara sahabat,keluarga, rasul dan barang-barang kepunyaan kita. Jadi, cinta itu cukup indah andai ia diletakkan di tempat yang betul,jika diberikan kepada yang tepat dan cara yang benar mengikut landasan islam

Dalam masyarakat kita, percintaan sering kali dikaitkan dengan rumah tangga yang tidak akan tenteram kerana mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain terlebih dahulu. Maka dari sini wujudlah satu percintaan sering diagung-agungkan oleh masyarakat kita iaitu percintaan selepas perkahwinan yang dikatakan akan bahagia hingga ke anak cucu.

Percintaan ini wujud kerana masyarakat kita tersalah tafsir dek kerana terpengaruh dengan lakonan-lakonan di kaca televisyen yang digambarkan cukup indah. Cinta antara lelaki dan perempuan tanpa batasan, dengan ciuman, keluar berdua-duaan, berpegangan ketika berjalan tanpa mengira batas dan tatatertib masyarakat.

Aku yakin kalau aku tanya siapa yang patut kita cintakan dahulu, sudah tentulah banyak lidah yang akan mengatakan Allah.Selepasnya adalah rasul.Namun bila hati berbicara lain,siapa yang tahu. Jadi sudah tentulah ramai diantara kita mempunyai pengetahuan luas mengenai pemilik cinta yang pertama. Namun, sejauh manakah kita jelas mengenai cinta terhadapNya.

Dalam sehari, berapa kali kita ingat Allah? kita kata Allah pemilik cinta kita yang utama. Aku ambil yang paling minimum. solat satu waktu 5 min. 5 waktu jadilah 25 minit. aku ambik waktu tidur 5 jam la. tolak makan minum melepas hajat mandi, aku genapkan jadi 35 minit. dan keseluruhan nya adalah 6 jam.. berbaki lagi 18 jam. Agak-agak dalam 18 jam ni ada kita ingat Allah? kalau ada berapa banyak?

Tadi dah cakap pemilik cinta yang hakiki adalah Allah. tapi berapa banyak masa yang diperuntukkan untuk bersama. biasanya kan orang bercinta akan jadi angau, sentiasa terbayangkan wajah kekasih. Sebut nama kekasih pun dah boleh buat pipi merah. haha.




Lau Kaana Bainana


Sudah tentulah pemilik cinta kita yang seterusnya adalah rasul. Tetapi, adakah itu dijawab dengan kefahaman yang tepat?

Cukupkah cinta kita terhadap Rasulullah SAW? kita cakap kita cinta allah. kita solat 5 waktu. beres kerja. tapi, apa yang kita buat untuk membuktikan cinta terhadap rasul?

Selawat? cukup lah kot kalau kira dalam solat. cuba kita kira selepas solat. semoga lidah kita tidak kering menuturkan selawat.

Cukup ke perasaan cinta kita begitu sahaja? Hanya sekadar selawat dalam solat? Rasulullah adalah pemilik cinta kita yang kedua. Pada saat kewafatannya, baginda masih mengingati kita. Namun, aku yakin ramai akan cakap "sakit" pada akhir hayat mereka.


Dan tibalah saatnya kita memberikan cinta kita pada pemilik yang seterusnya. Yang halal buat kita semua. Apabila Baju melayu bertemu baju kurung, hati mula bergetar. Terasa itu perasaan cinta. Adakah itu cinta yang halal? Benar atau tidak bergantung kepada tindakan yang akan di ambil seterusnya.

Betul atau salah bergantung kepada apa yang kita lakukan selepas itu. Jika kita memilih mendekati kepada jalan yang salah, kita menghampiri kepada cinta yang salah. Dan bermulalah proses penghasilan lubuk-lubuk dosa kita. Lubuk dosa yang penuh dengan angan-angan, lubuk dosa yang penuh dengan tangisan merajuk, lubuk dosa yang penuh pembaziran wang ringgit dan waktu, lubuk dosa yang penuh dengan syakwasangka kepada si dia yang mungkin curang, lubuk dosa dengan pergaduhan, lubuk dosa dengan ungkapan sayang yang bersifat luaran, lubuk dosa dengan berbangga dengan gambar-gambar berdua-duaan, yang mendekatkan diri kepada zina mata, zina hati. Dan terlebih bimbang jika pengakhirannya akan membawa penyesalan kepada diri- sendiri.

Tapi jika kita memilih menyalurkannya kepada jalan yang betul, ini akan menjadi sebuah cinta yang halal, cinta yang mampu menjadi lubuk pahala bagi kita. Lubuk pahala yang mampu memberikan ganjaran berlipat-lipat ganda.

Jika sudah bersedia, pilihlah untuk berkahwin. Tetapi bukan dengan cara bercinta sebelum berkahwin dengan lelaki yang tidak halal bagi kita. Ada cara-cara tertentu, antaranya melalui orang tengah yang kita thiqah padanya, atau ibubapa. Kita terjaga, maruah kita terjaga, dan keberkatanNya ada. Kita ingin membina sebuah rumahtangga yang barakah, bercinta hingga ke syurga. Macam mana nak bercinta hingga ke syurga apabila sebuah rumah tangga dimulai dengan perkara-perkara yang tidak diredhai Allah?

Cinta fitrah ini yang berakhir dengan sebuah perjanjian kuat yang indah, menjadi sebuah pelengkap agama. Dan seterusnya, lubuk pahala ini akan terus terisi dengan menjadikan diri sebagai seorang isteri solehah yang terbaik buat si dia yang halal, pemilik cinta kita selepas Allah dan RasulNya.

Bagi yang sedang bercinta dengan seorang lelaki yang belum halal bagimu, jika belum bersedia untuk berkahwin dalam masa yang terdekat, kuatkanlah diri, pilihlah untuk mengakhiri percintaan yang salah. Takut? Percayalah, Allah akan beri kekuatan. Jika benar si dia yang masih belum halal adalah untukmu, Allah akan hadirkan dia kembali buat dirimu. Janji yang Allah tak pernah mungkiri bahawa setiap makhluknya diciptakan berpasang-pasangan. Dan pasti ada pasangan yang tertulis namanya di Lauh Mahfuz untukmu. Dan bila kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang pasti lebih baik untuk kita. Kita mesti benar-benar percaya kerana Allah adalah pemilik cinta kita yang utama, yang takkan sesekali menipu hambaNya. Keyakinan dan keimanan ini adalah bukti cinta kita kepada pemilik cinta kita yang pertama iaitu Allah.

Cinta ini adalah lubuk pahala. Jika belum bersedia, atau belum mampu, atau belum tiba masanya, tetapi perasaan fitrah itu sudah ada, inilah yang akan menjadi lubuk pahala bagi kita. Bermujahadahlah. Tambahlah istighfar kepadaNya, berpuasalah untuk menjaga sebuah fitrah yang indah ini, dan teruslah berdoa. “Prayer is the best armor against all trials”.

Dan dalam masa menanti seorang yang soleh hadir, kita bukan hanya perlu mencari, tetapi perlulah menjadi. Berusaha menjadi seorang wanita yang solehah, dan cuba memperbaiki kekurangan diri semampu yang mungkin.

Bila baju melayu bertemu baju kurung, biarlah hanya untuk yang halal

Status di Facebook dikatakan sebagai menunjuk diri bagus dan riak

Assalamualaikum

Entri kali ini akan aku cuba untuk memendekkan dan make it simple. Lagipun ini entri yang on the spot akan aku cuba tulis kali ini. Berbalik kepada tajuk entri kali ini, R.I.A.K. satu perkataan yang cukup sinonim dalam kehidupan seharian. Bila sebut sahaja perkataan ini, maka ramai akan terfikir dengan satu lagi perkataan sinonim dengan riak iaitu menunjuk-nunjuk. Yang boleh dikatakan satu kepastian adalah riak ini cukup rapat dengan manusia dan lebih baik kita berjaga-jaga



aku bagi satu contoh yang paling dekat dengan diri aku. Kebelakangan ini memang aku kerap post status kata-kata hikmah. Tetapi biasalah mesti ada ramai yang kata dibelakang. Itu terpulanglah kepada mereka. Itu adalah hak mereka untuk tidak menyukai sesuatu

"Aku tengok kebelakangan ni dia selalu la post status kata-kata hikmah. Nak tunjuk baik sangat ke. kalau nak menunjuk lebih baik bla jer"

memanglah bukan anda yang berkata begitu, namun di dalam dunia ini bukan anda seorang sahaja yang membaca status itu. ada juga insan yang lain yang terlihat dan membaca.



antara perbualan yang mungkin agak senang di dengari

A: Eh, dia tulis macam tu dia bajet dia bagus sangat la.

B: Aku kenal la dia. Dia dulu kawan baik aku dulu dekat sekolah

A: Habis tu, yang dia jadi macam tu apehal?

B: aku tanya kau balik, takkan kau nak tunggu dia jadi perfect baru kau nak terima nasihat dia.
Eh, come on la kawan. Kalau tunggu dia perfect tunggu jadi malaikat la. Manusia mane ade yang sempurna.

A:Dia tulis macam dia tu bagus sangat. Dia pun bukan tahu ape yang orang lain alami.

B:Memang dia tak alami, tapi mungkin dia ade sedikit sebanyak pengalaman yang pernah dilalui.Mungkin niat dia memang untuk berkongsi dengan orang lain.

A: Habis kalau dia nak tengok orang like status dia buat apa? bukan ke tu menunjuk-nunjuk

B: Yang kau nak serkap jarang ni kenapa? Aku tengok kau je yang lebih-lebih. Dia takde apa- apa masalah pun dengan benda tu

A: Ok. Kalau betul memang niat dia tu nak menunjuk baik. Ape kau nak kata?

B: tak jadi satu masalah pun. tegurlah secara baik. Kau pun boleh inbox message.

A: Kalau dia marah aku?

B: Api jangan dilawan dengan api. Kau berdoa sahajalah. Kau dah pernah cuba?

A: Ok, nanti aku try


tamatlah satu dialog rekaan aku sendiri. Itulah salah satu sikap manusia. Kurang senang melihat kejayaan atau kesenangan orang lain.Sentiasa berfikiran negatif terhadap orang lain. Cubalah bersikap husnuzon dan buang fikiran negatif. Setidak-tidaknya, cubalah bersangka baik kerana itulah selemah-lemah ukhuwah. Cubalah terlebih dahulu baru kata.

Berfikir sejenak. Andai kita terus mencari kesilapan orang lain, tapi orang tu relaks. Cool je. takde ape-ape masalah pun. sudah tentu kita akan lebih sakit hati. Dan kita akan terus mencari kesilapan orang lain. dan ingin lebih menyakitkan hati orang tersebut, kita menyebarkan keburukan dia kepada orang lain. Namun dia masih happy dan gembira. Seolah-olah tiada masalah sedikit pun. Tanpa kita sedari, kita akan terus sakit hati. Untung ke tak? Rasanya rugi adalah.

Andai memang benar dia ingin menunjuk dirinya baik dan hebat, sedangkan dia tidak lah sehebat yang digambarkan. maka berdoalah kepada Allah agar dia menjadi lebih baik dan hebat seperti yang digambarkan. Haruslah diingatkan andai kita menasihati orang lain, kita juga akan menasihati diri kita. Secara tidak langsung kita turut akan menjadi seorang yang lebih baik daripada semalam.Sama juga, kalau kita nak pandai dalam menuntut ilmu, ilmu itu haruslah dikongsi bersama rakan-rakan kita.

Andai anda terus mencari kesilapan orang lain, bermakna anda turut lupa tentang kelemahan diri anda. Manusia tidak dicipitakan sempurna. Manusia haruslah saling melengkapi antara satu sama lain. Setiap orang mampu berubah ke arah menjadi lebih baik. Bersyukurlah andai orang yang ditegur itu menjadi lebih baik, dan teruslah menasihati antara satu sama lain. Bukan mencerca. Sedarlah bahawa kita tidak mampu sedapkan setiap hati orang. Kita cubalah yang terbaik untuk diri kita di samping menyebarkan kebaikan kepada orang lain.

Boleh lakukannya? InsyaAllah semuanya boleh jika kita mahu. aku ambik satu ungkapan Imam Hassan Al Basri. "sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti aku yang terbaik dalam kalangan kamu, karena aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sedikitlah orang yang memberi peringatan". Hayatilah ia sedalamnya. Yang paling penting. Utamakanlah pandangan Allah daripada pandangan manusia. tegurlah andai aku membuat kesilapan

La tahzan. Innallaha ma`ana. Dan janganlah kamu bersikap lemah dan jangan lah pula kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnyajika kamu orang-oorang yang beriman

wassalam

Adli Hakim

Bersyukurlah sekiranya masih ada orang yang masih mahu mengajak kita untuk membuat kebaikan. Itu tandanya mereka peduli dan sayang. Tidak mahu kita terus hanyut