iman itu bukan hanya pada angan-angan dan cita-cita, bukan pula dengan bicara kata tetapi ia apa yang tersemat dalam jiwa dan dibuktikan pula dengan amalannya (langit ilahi 3 : fanzuru)

Andai yang mati itu adalah kita



Pernah dengar berita kematian?

Pada kebiasaannya, apabila kita mendengar berita mengenai kematian, kita akan mengucapkan Innalillah waninailahi raji'un. Ada juga akan membaca al-fatihah untuk bersedekah. Andai yang mati itu adalah keluara kita, maka akan bertambah lagilah kesedihan itu.

Memang kematian itu adalah fitrah. Setiap yang bernyawa pasti akan mati jua. Maka bersedihlah dengan seadanya, selagi kesedihan kita itu berada dalam lingkungan keredhaan Allah SWT.

Andai, ada yang terdengar berita kematian itu, pernahkah mereka terfikir "kalaulah aku yang mati itu, apa pula nasib aku?"

Apa perasaan anda, kalau berita kematian itu bukan berita kematian orang lain, namun berita kematian tersebut adalah anda?

Nabi muhammad SAW pernah bersabda, seseorang yang meninggal diikuti (dihantar) oleh tiga hal. Maka dua hal pulang dan tinggallah satu.Dia dihantar keluarganya, hartanya, dan amalnya. Maka keluarga dan hartanya pulang dan tinggallah amalnya (hadis riwayat Bukhari)

Mati bukanlah satu pengakhiran bagi segala-galanya. Selepas kematian menjemput, kita akan menuju ke alam barzakh. Di sana kita akan disoal oleh Munkar dan Nankir. Hanya amal yang menemani kita. Baik atau buruk keadaan kita disana bergantung kepada amal kita. Kemudian, dibangkitkan semula pada Hari perhitungan dan dihisab pula amalan kita untuk menentukan syurga dan neraka.


Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia)"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).
(al-mukminun 23 : 99-100)

Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!" (al-ghafir 40:46)

Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak. (asy-syuura 42:20)

Sudah jelas bahawa kematian merupakan pintu yang akan membawa kita alam yang lain. Bermula daripada Alam Barzakh kita sudah tahu bagaimana kita diakhirat kelak. Segala-galanya memerlukan amal yang cukup untuk menemani perjalanan kita sebagai seorang hamba selepas melangkah dari pintu kematian. Ketika itulah manusia beru tersedar akan kesilapan mereka kerana membazirkan sewaktu hayat mereka untuk beramal

Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): " Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!", (yasin 36:48)

Diceritakan di dalam al-quran terdapat golongan yang merayu-rayu meminta pertolongan dan bantuan Allah SWT supaya dikemalikan mereka ke dunia untuk mereka mempersiapkan diri mereka. Namun, semua itu hanyalah sia-sia

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".

Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)" (as-sajadah 23: 12-13)

Pernahkan kita terfikir akan perkara seperti ini." kalau waktu itu aku yang mati tapi bukan dia, macam mana agaknya?"

Sudah tentu akan ada satu rasa perasaan takut yang menusuk jiwa kita apabila yang mati itu adalah kita. Adakah kita sudah bersedia untuk nyawa kita ditarik oleh Allah SWT? Di saat kita mati, tertutuplah pintu amal, terkuncilah pintu taubat

"Oleh itu, pada hari ini tidak diterima penebus diri dari kamu, dan tidak juga dari orang-orang kafir. Tempat tinggal kamu ialah neraka, nerakalah sahaja penolong kamu, dan itulah seburuk-buruk tempat kesudahan kamu!" (al-hadid 57: 15)

Tiadalah mati itu datang dengan amaran. Mati itu datang secara tiba. Andai kita mati dan pengakhiran kita adalah Husnul Khatimah, maka beruntunglah kita. Andai pengakhiran kita adalah Su'ul Khatimah, maka tergolonglah kita dalam golongan yang bakal ditimpa azab diakhirat kelak

Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan. (an-nahl 16 : 61)

Maka bersyukurlah dengan setiap saat kehidupan kita di muka bumi ini.

Bersyukurlah kita masih lagi diberi kesempatan untuk bernafas.

Maka, dengan nikmat yang masih ada ini, apakah yang akan anda lakukan?

Apakah anda masih lagi mempunyai masa untuk disia-siakan?


Dalam pentarbiyahan diri
adli hakim
2044

0 comments:

Post a Comment