iman itu bukan hanya pada angan-angan dan cita-cita, bukan pula dengan bicara kata tetapi ia apa yang tersemat dalam jiwa dan dibuktikan pula dengan amalannya (langit ilahi 3 : fanzuru)

Motivasi: Dia yang tiada siapa-siapa, punya Allah SWT.



Kesedaran adalah antara perkara terpenting dalam kehidupan manusia.

Kesedaran, kewarasan, adalah apa yang akan mampu mengeluarkan manusia dari sebarang permasalahan. Daripada kesedaran akan datangnya ketenangan dan kekuatan.

Namun, tidak ramai manusia yang mampu mengekalkan kesedaran dan kewarasannya. Apatah lagi apabila gelombang mehnah dan tribulasi tidak henti-henti menghempasnya. Sampai satu saat, kesedaran dan kewarasan itu hilang, dan jatuhlah dia ke satu tempat yang rendah lagi hina. Tersesat dalam perjalanannya di atas dunia.

Tetapi wujud di dalam dunia ini, manusia yang dilambung mehnah dan tribulasi, namun kekal bertahan dan bertenang. Dia berjaya mengekalkan kesedaran dan kewarasannya.

Apakah rahsia mereka?

Rahsia mereka adalah, mereka menghadirkan Allah SWT dalam kehidupan mereka.

Pegangan terutuh

Mereka yang menghadirkan Allah SWT dalam kehidupan mereka, akan mempunyai pegangan terutuh, terkukuh. Hal ini kerana, pergantungan kepada Allah SWT mempunyai beberapa ciri pengekal ketenangan yang ampuh.

Berikut ciri-cirinya.

1 – Wujud dalam kepercayaan kepada Allah bahawa Allah itu Tidak Menzalimi Hamba-hambaNya.

Jelas bahawa, bagi yang mempunyai hubungan yang erat dengan Allah SWT, keyakinan bahawa Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya akan membuatkan hamba-hambaNya tabah melalui ujian dan cabaran, walau seberat mana pun ujian tersebut. Kerana mereka tahu, ujian dan cabaran itu, bukan tanda Allah sedang menzalimi mereka, bahkan ujian dan cabaran itu dipandang sebagai catalyst(pemangkin) agar diri mereka menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik. Kepercayaan ini membawa kepada kepercayaan – Apa-apa sahaja yang Allah beri itu adalah baik, walaupun nampak buruk buat kita.

“Dan tidaklah Allah itu mengkehendaki (untuk berlaku) zalim kepada hamba-hambaNya.” Surah Ghaafir ayat 31.

Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman : “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman…” Hadith Riwayat Muslim. Boleh didapati sebagai Hadith yang ke-24 di dalam Hadith 40 Karangan Imam An-Nawawi.

Nyatanya, ketenangan akan terus kekal apabila mempunyai kefahaman begini.

2 – Wujud dalam kepercayaan kepada Allah bahawa Allah itu Tidak Memungkiri JanjiNya.

Jelas bahawa, bagi yang mempunyai hubungan yang erat dengan Allah SWT, mereka percaya bahawa Allah itu Tidak Memungkiri JanjiNya. Allah SWT sudah berjanji bahawa kebaikan itu akan dibalas, walau sebesar zarah. Kejahatan itu akan dibalas walau sebesar zarah. Allah berjanji akan memberikan bantuan dan kemenangan. Dan Allah berjanji, tidak akan memungkiri janji-janjiNya ini.

“Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya mereka mendapat tempat-tempat yang tinggi, di atasnya dibangun pula tempat-tempat yang tinggi yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Allah telah berjanji dengan sebenar-benarnya. Allah tidak akan memungkiri janji-Nya.” Surah Az-Zumar ayat 20.

Maka bagi yang percaya, dugaan dan cabaran akan dilalui dengan sabar dan tabah, menanti Allah SWT menunaikan janji-janjiNya. Dengan itu, ketenangan itu kekal.

3 – Wujud dalam kepercayaan kepada Allah bahawa Allah itu Amat Dekat Dengan Hamba-hambaNya.

Jelas bahawa, bagi yang mempunyai hubungan yang erat dengan Allah SWT, mereka percaya bahawa Allah itu Amat Dekat dengan hamba-hambaNya. Justeru, mereka rasa kuat dan cekal dengan kepercayaan ini. Mereka tahu bahawa mereka tidak bersendiri. Mereka tahu bahawa Allah sedang menilai mereka. Mereka tahu Allah SWT sentiasa bersama mereka. Maka apakah mereka hendak meninggalkan Allah SWT dengan berputus asa?

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila berdo’a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Surah Al Baqarah ayat 186

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat dari pada urat lehernya.” Surah Al Qaaf ayat 16

Ini juga mengekalkan ketenangan dan kewarasan. Lantas cabaran dan dugaan itu dilalui dengan tabah dan penuh kecekalan.

Dan banyak lagi sebenarnya. Namun tiga ciri ini adalah yang terutama, yang menyebabkan mereka yang menghadirkan Allah SWT dalam kehidupan mereka, kekal bertenang walaupun dalam kepayahan yang dilalui oleh mereka.

Tidak mahu percaya? Lihatlah mereka.

Kita mempunyai contoh-contoh yang sudah dipahatkan di dalam sejarah, untuk kita contohi dan ambil pengajaran.

Kisah 1

Lihatlah Rasulullah SAW, semasa peristiwa hijrah, saat baginda bersembunyi di dalam gua dan hampir ditemui. Abu Bakr RA ketika ini ketakutan dan gelabah, risau ditemui. Tetapi apakah sabda Rasulullah SAW ketika itu?

“Wahai Abu Bakr, apakah pandangan engkau sekiranya kita berdua ini, dan Allah adalah yang ketiganya?”

Terus sahaja kegusaran di dalam jiwa Abu Bakr itu lenyap. Dan lihatlah bagaimana tenangnya Rasulullah SAW. Kerana apa? Kerana baginda menghadirkan Allah SWT dalam kehidupannya.

Kisah 2

Ketika Musa AS terhimpit antara laut dan tentera Firaun yang mengejar dia dan Bani Israel yang dipimpinnya, dia kekal bertenang. Walaupun pada saat itu Bani Israel kucar-kacir ketakutan, bahkan ada yang mencadangkan agar mereka menyerah diri kepada Firaun.

“Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 61.

Tetapi apakah kata-kata Musa AS pada ketika itu?

“Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 62.

Kisah 3

Ketika Yusuf AS dihimpit oleh imra’ah aziz(yang sering kita kenali sebagai Zulaikha), yang ingin menggodanya untuk melakukan hubungan terlarang, Yusuf AS kekal bertenang dan tidak jatuh kewarasannya. Dia tidak pula menerkam Zulaikha mengikut nafsunya.

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya, dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: Marilah ke mari, aku bersedia untukmu. Yusuf menjawab: Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan Berjaya.” Surah Yusuf ayat 23.

Dan apabila dia dipenjara, akibat tidak mahu mengikuti nafsu Zulaikha, dia berkata:

“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.” Surah Yusuf ayat 33.

Nyatanya, terserlah ketenangannya itu. Langsung kewarasannya tidak hilang dengan ujian-ujian tersebut.

Sebab itu, hubungan dengan Allah SWT adalah kunci kepada ketenangan dan kewarasan, dalam menghasilkan kecekalan dan ketabahan merentas masalah kehidupan.

Namun permasalahan utamanya adalah…

Namun hari ini, Allah SWT itu tidak kita hadirkan dalam kehidupan kita. Kita sekadar beriman di atas kad pengenalan semata-mata. Ramainya sekadar memagarkan hubungan dengan Allah SWT di dalam masjid, dan saat-saat kemalangan, juga apabila berlaku kematian.

Inilah yang membuatkan manusia, kehilangan kewarasan diri apabila dilambung badai mehnah dan tribulasi. Bila ada masalah, ada yang kelar tangan bunuh diri. Bila ada masalah, ada yang jatuh tak bangkit kembali. Ini semua kerana, Allah SWT tidak dihadirkan dalam segenap kehidupan insani.

Sememangnya, orang-orang yang melupakan Allah SWT, dia akan Allah SWT lupakan.

“Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka.” Surah At-Taubah ayat 67.

Penutup: Dia yang tidak punya siapa-siapa, ada Allah SWT

Sebab itu, kita perlu melihat semula akan perkara ini. Hal ini kerana, kesedaran dan kewarasan adalah satu perkara yang amat penting dalam mengekalkan ketabahan dan kecekalan kita. Ramai telah tersungkur dan gagal apabila dilambung ujian. Jangan kita pula yang menjadi yang seterusnya.

Mari. Ubat sudah berada di hadapan kita. Bahkan, selama ini memang penawar ini wujud bersama kita. Kita sahaja yang tidak mengambilnya.

Kita koreksi kembali hubungan kita dengan Allah SWT.

Dan menjadi manusia yang tabah dan cekal.

Hatta kalau nanti kita tiada siapa-siapa di sisi kita, kepercayaan bahawa wujudnya Allah bersama kita itu membuatkan kita mampu membelah segala cabaran dan dugaan di atas dunia. Hingga mampu menjejak syurgaNya.

0 comments:

Post a Comment