iman itu bukan hanya pada angan-angan dan cita-cita, bukan pula dengan bicara kata tetapi ia apa yang tersemat dalam jiwa dan dibuktikan pula dengan amalannya (langit ilahi 3 : fanzuru)

Jangan menghampiri Zina

Satu penyakit yang saban hari membiak kalau dibiarkan akan membarah sehingga akan merosakkan identiti suci manusia. Pergaulan yang tidak menepati syariat antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan dan juga permasalahan couple yang semakin hari semakin menjadi kebiasaan dan trend secara terang-terangan berlaku kini. Di mana maruah mereka?

Masalahnya bertambah apabila ada pihak yang menegur dan cuba mencegah tetapi yang dipersalahkan adalah mereka yang menegur dan mencegah tersebut. Mereka yang melakukan maksiat ini pula dibela dan sanggup membela diri yang hakikatnya mereka sendiri yang bersalah. Mereka tidak menganggap itu satu dosa tapi yang berdosa ialah sesiapa yang menegur apa yang mereka lakukan. Pelik sungguh sekarang ini – berdosa kalau menegur kesilapan dan berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Benarlah apa yang dikatakan oleh Rasulullah saw bahawa akan sampai satu masa manusia akan lihat yang makruf itu munkar dan yang munkar itu makruf dan lebih teruk lagi orang yang amar makruf nahi munkar dihina dan orangamar munkar nahi makruf dibela dan di sanjung-sanjung.

Semoga kita dapat melakukan sesuatu untuk mengatasinya. Insya-Allah - Penyusun.

Kami tidak berzina!

Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.

Itu kawan baik saya sahaja...

Kawan baik pun tetap tidak terkecuali daripada larangan Allah. Setiap pergaulan ada batasnya. Kawan sejenis kamu tidak adakah? Lihat... kamu sendiri yang sengaja mengadakan alasan untuk membolehkannya. Ramai lagi kaum sejenis kamu yang boleh dijadikan teman berbual dan berbincang.

Kami hanya berbual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum... adakah itu menghampiri zina?

Ya, perbuatan itu boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan.

Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.


Hari ini, ya. Esok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya iblis yang mengena sasaran. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya amat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula lupa. Siapalah kita jika dibandingka dengan adam dan Hawa? Iblis amat licik. Pengalaman nya banyak. Dia ada seribu satu cara. Ingat pesanan Rasulullah saw : “Tidaklah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali syaitan adalah yang ketiganya.” Syaitan akan menghembus perasaan berahi. Kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis.

Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada penzinaan. Ada yang hanya bercinta dalam telefon, sms, dan chatting sahaja. Tidak pernah bersua muka pun!

Betul, itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka. Tapi perasaan pasti bergelora. Lambat laun, desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan berhenti begitu sahaja. Percayalah ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu akan boleh membawa kepada penzinaan akhirnya?

Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itu pun zina juga ke?

Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya. Ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat seseorang dengan perasaan berahi. Melihat auratnya juga adalah zina. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan seseorang seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah saw: “ Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya dengan menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya dengan berjalan (nenuju ke tempat pertemuan). Mulut juga berzina dan zinanya ciuman.” (Riwayat Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan dan lorong menuju kepada penzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada penzinaan.

Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!

Berdiskusi pelajaran? Betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hamba-Nya. Kita belajar nakkan keberkatan. Kalau kita cemerlang sekali pun, tapi tidak diberkati oleh Allah, kejayaan tidak membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebih lagilah. Jangan berselindung di sebalik ilmu yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Jadi belajar hendaklah mengikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi sebegini akan ditulis sebagai ibadat oleh malaikat Raqib dan ‘Atid? Jangan-jangan sekejap sahaja bincang pelajaran. Yang lain tu, banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Tidaklah. Sungguh bincang pelajaran!

Baik sungguh awak berdua. Takkan awak tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat? Ingat, kita bukan malaikat – tak bernafsu. Jangan menafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Kita sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi

Tidak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar. Sudah habiskah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Ingat, ramai orang cemerlang hanya belajar dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat keberkatan dan rahmat pula.

Takkan tak da ruang langsung yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta? Adakah Islam membunuh terus naluri cinta?

Naluri adalah sebahagian dari kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tidak normal namanya. Islam datang bukan membunuh naluri dan keinginan itu seperti yang dilakukan oleh para paderi dan sami. Jangan menafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Tidak salah atau berdosa perasaan itu datang. Itu adalah fitrah. Cuma tundukkan naluri ini agar patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya.

Tentu ada cinta dalam Islam.

Cinta secara Islam hanya satu iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab dan kabul, cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan kudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, Islam. Apabila Islam melarang sesuatu perkara tentu ia akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kalau ia melarang cinta antara lelaki dan perempuan sebelum berkahwin atau melarang daripada zina maka sebagai ganti yang lebih baik ialah perkahwinan. Sabda Rasulullah saw: “Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai melainkan nikah.” (Riwayat Ibnu Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia. Usah cemarkannya dengan zina. Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik.

Kalau begitu, cinta remaja semua menghampiri kepada penzinaan?

Ya. kalau lelaki dan perempuan bertemu tentunya perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian mengatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-duaan, jalan sama-sama. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual-bual panjang hingga malam gelap. Hubungan makin akrab dan berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam kahwin baru semalam. Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan penzinaan? Penghujung jalan cinta sebegini adalah penzinaan dan kesengsaraan. Berapa ramai orang yang telah bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibubapa yang melahirkan kita dalam keadaan bersih putih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun.

Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.

Allah yang menciptakan manusia. Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya menjauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang.

Jadi, manusia itu tidak tahan diuji?

Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa. Sejak dari awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan bahawa mereka tidak akan tahan dengan ujian walaupun kecil. Allah menceritakan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah menegah Adam dan Hawa daripada memakan buah Khuldi di dalam syurga manakala buah yang lain boleh dimakan. Allah tahu kelemahan manusia dan berpesan kepada Adam dan Hawa agar tidak mendekati pohon Khuldi tersebut. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Adam, tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta janganlah kamu menghampiri pohon ini (Khuldi), (jika kamu menghampirinya) maka kamu akan tergolong daripada orang-orang yang zalim.” (Al-A’raf: 19) Tegahan di dalam ayat ini ialah memakan buah Khuldi. Allah mengetahui kelemahan Adam dan Hawa. Jika mereka menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka melakukannya kerana tidak dapat mengawal diri. Demikianlah juga dengan zina. Allah menegah zina maka jalan yang menuju ke arah zina juga dilarang. Takut bila berhadapan dengan godaan penzinaan, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar dari pengalaman nenek moyang kitaAdam dan Hawa.

Tetapi bercinta selepas kahwin banyak masalah. Kita tidak kenal pasangan secara dekat. Bercinta untuk mengenali hati budi pasangan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.

Bolehkah percaya dengan perwatakan semasa bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan pura-pura. Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masing-masing akan berlakon dengan watak terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan pelbagai lagi. Masa bercinta, merajuk anda akan ada yang memujuk. Lepas kahwin jangan harap akan ada yang memujuk. Ramai yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. Macam langit dengan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang penyayang, penyabar, sabar menunggu berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit sudah kena tengking. Jadi, perwatakan dalm bercinta tidak boleh dipercayai. Ia hanya satu kepuraan dan hipokrit.

Percayalah. Kami bercinta demi merancang kabahagiaan hidup nanti.

Bagaimana mengharap bahagia jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan dan Allah akan menganugerahkannya. Bagaimana untuk mendapatkan kebahagiaan itu seandainya jalan untuk mencapainya tidak diredhai Allah? Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta begini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang mendapat redha Allah ialah redha selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapatkan keluarga bahagia jika awal-awal lagi kita sudah pun canggung. Bagaimana pula kesydahannya?

Tanya sikit, adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? Ganti bercinta...

Semua itu perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya sama sahaja. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat dan abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dalam budaya ‘angkat-mengangkat’ ini sebenarnya telah masuk ke perangkap syaitan. Cuma tunggu masa hendak dikorbankan. Namakanlah apa jua sekalipun, kakak angkat ke, adik angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalannya akan bertemu dengan zina.

Jadi seolah-olah orang yang bercinta itu telah hilang maruah diri?

Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi Pencipta manusia. Sebab ukuran manusia sering berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah dirinya. Manakala orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum berkahwin, akan mengatakan bahawa orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu, ukuran bermaruah atau tidak bermaruah adalah ditentukan oleh Allah swt.

Bagaimana dengan tunang saya? Saya berhak ke atasnya.

Baguslah kalau sudah bertunang. Tapi tali pertunangan pun masih belum menghalalkan pergaulan. Bertunang hukumnya tetap sama dengan orang yang belum berkahwin. Bukankah ada beza antara pertunangan dan perkahwinan? Kamu juga tahu apa bezanya bukan? Hak? Selagi kamu tidak berkahwin kamu tiada hak ke atasnya. Hak memiliki hanya akan berlaku setelah diijabkabulkan.

Kami telah berjanji sehidup semati!

Apa ada pada janji-janji cinta? Berapa banyak sudah janji-janji cinta yang musnah? Lelaki? Jangan harap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu sepah dibuang. Pepatah ini sering diulang-ulang kerana sudah sah kebenarannya.

Si dia lain dari yang lain. Si dia seorang lelaki penyayang dan bertanggungjawab.

Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu kepada anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok-seronok, bersuka-suka dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan lelaki. Itulah rahsia lelaki.

Jadi, perempuan yang bercinta jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?

Tentu. Mana ada lelaki yang normal suka pada yang ‘second hand’ sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka pula menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di show room sahaja; display only. Tapi ada yang boleh test drive. Ada pula yang kata; macam pakai dan tukar baju, bila-bila saja boleh tukar-tukar. Kalau tak nak boleh buang atau beri orang lain. Sedihkan. Itulah hakikatnya.

Masih adakah orang yang tidak bercinta pada zaman ini?

Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlahnya kecil. Firman Allah swt: “ Sesungguhnya para lelaki dan wanita yang beragama Islam, yang beriman, yang tetap dalam ketaatan, yang benar, yang sabar, yang khusyuk kepada Allah, yang bersedekah, yang berpuasa, yang memelihara kemaluan mereka (kehormatan) dan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Ahzab: 35)

Tapi kami...

Sudah! Cukuplah dengan alasan yang sengaja kamu reka untuk meneruskan apa yang kamu inginkan. Memang sikap manusia suka membuat perkara yang dilarang Allah. Sentiasa mencari jalan untuk membolehkan dia menurut hawa nafsu dan perasaan gelora walaupun sudah jelas nyata hukumnya. Kenapa masih berdegil dan mencari perkara yang buruk. Allah sediakan jalan yang baik kenapa jalan keji juga yang diikut? Sedarlah sahabat, syaitan sedang mengaburi mata kamu ke arah perkara dunia sementara ini dan sentiasa menggoda kamu ke arah perkara yang menyeronokkan.

Bagaimana kami?

Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Beerdoalah serta mohon keampunan dari-Nya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapatkan redha-Nya. Ada dua, sama ada mahu PUTUS atau KAHWIN. Itu sahaja penyelesaian untuk masalah ini. Sabda Rasulullah saw: “Wahai para pemuda, seandainya kamu berkemampuan maka kahwinlah. Kalau kamu tidak berkemampuan maka berpuasalah kerana ia adalah perisai, memelihara kemaluan dan menundukkan pandangan.”

Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha.

Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benar taubat. Taubat yang memenuhi tiga syarat:
Meninggalkan perbuatan maksiat tersebut. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini atau kahwin terus.
Menyesal. Menginsafi diri di atas tindak-tanduk hidup yang menjurus ke arah penzinaan.
Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama suami atau isteri. Saatnya adalah selepas diijabkabulkan.

Kita berpisah kerana Allah. Kalau ada jodoh tidak ke mana.
Ya Allah bantulah kami. Kini kami datang mencari redha-Mu. Terimalah taubat kami dan berilah kami pasangan yang terbaik serta zuriat yang soleh dan solehah...

0 comments:

Post a Comment