iman itu bukan hanya pada angan-angan dan cita-cita, bukan pula dengan bicara kata tetapi ia apa yang tersemat dalam jiwa dan dibuktikan pula dengan amalannya (langit ilahi 3 : fanzuru)

Gejala sosial yang kian bejat

MASALAH sosial semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dan merupakan isu yang sering diperkatakan oleh masyarakat. Apa yang membimbangkan ialah masalah sosial juga berlaku di kalangan remaja dan pelajar yang sering dianggap sebagai generasi penggerak pembangunan. Patutkah kita membiarkan mereka terjebak dengan perlakuan sosial yang buruk seperti melepak, menagih dadah, bohsia, bohjan, mencuri dan sebagainya? Tepuk dada tanya selera.

Institusi keluarga yang harmoni menyumbang kepada anak-anak yang berkelakuan baik, bermoral dan berakhlak mulia di samping ibu bapa yang prihatin, penyayang dan bertanggungjawab. Didikan agama yang kuat terhadap anak-anak semestinya menghindarkan mereka membuat perlakuan sosial yang tidak senonoh. Kebanyakan kes sosial di kalangan remaja adalah disebabkan kurangnya pemedulian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Ini menyebabkan mereka bertindak liar dan bebas serta berani melarikan diri dari rumah dan seterusnya melakukan kegiatan sosial yang bercanggah dengan tatasusila timur seperti berzina, mencuri, menagih dadah dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian betapa pentingnya peranan ibu bapa terhadap anak-anak dalam menyemai perlakuan yang sopan serta memberikan kasih sayang agar mereka tidak terjebak dalam kancah antisosial.

Budaya melepak dan ponteng sekolah juga merupakan gejala sosial yang sering berlaku di kalangan para pelajar. Apabila minat terhadap belajar sudah tidak ada dalam diri mereka, mulalah para pelajar mengatur strategi ponteng sekolah dan melepak di tempat-tempat yang tertentu. Tempat yang menjadi sasaran mereka seperti kompleks membeli-belah, kedai-kedai permainan video dan komputer, rumah-rumah kosong dan sebagainya.

Oleh yang demikian kawalan ketat para guru sekolah perlu untuk memastikan mereka tidak ponteng sekolah. Kadang-kadang strategi pengajaran dan pembelajaran yang diungkayahkan oleh sesetengah guru membosankan dan tidak memberangsangkan pelajar. Oleh itu para guru haruslah menyediakan satu strategi mengajar yang mendatangkan minat pelajar-pelajar serta tidak menjemukan.

Peranan dari pihak kerajaan seperti pihak polis, pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta pihak Biro Kawalan Narkotik amatlah diharapkan dalam sama-sama membanteras masalah sosial secara keseluruhannya. Selain itu Majlis Perundingan Mukim dan Kampung tidak terkecuali dalam menangani dan memerangi gejala sosial daripada berleluasa menerusi pemantauan di seluruh kawasan mukim dan kampung dengan mengadakan program-program yang membina kekuatan diri serta berwawasan termasuk ceramah motivasi dan sebagainya yang diharapkan dapat menimbulkan minat para remaja khususnya.

Pertubuhan-pertubuhan tertentu seharusnya lebih banyak menganjurkan kegiatan-kegiatan dan aktiviti-aktiviti yang dapat mengisi waktu para remaja seperti kelab masak-masakan, bengkel melukis, memperbaiki peralatan rumah, bersukan dan sebagainya. Ia sekali gus dapat mengalihkan pandangan para remaja terhadap sesuatu pekerjaan yang berfaedah dan jauh dari perbuatan yang sia-sia dan merosakkan akhlak, selain dapat memupuk kesedaran para remaja agar tidak terjebak kepada kancah kehinaan melalui ceramah atau motivasi yang disampaikan.

Media massa sama ada cetak atau elektronik turut bertanggungjawab membanteras masalah sosial. Seharusnya pihak media massa cetak dan elektronik tidak perlu menyiarkan iklan, drama dan filem yang berciri lucah, ganas dan mengundang perlakuan sosial. Sebaik-baiknya siarkan program-program yang sihat dan yang boleh menjadi halwa telinga kepada para remaja seperti program forum, dokumentari, drama teladan dan sebagainya.

Yang penting kita sebagai masyarakat perlu sedar dan prihatin terhadap permasalahan sosial ini dan mencuba sedaya upaya memerangi kegiatan anti- sosial daripada bermaharajalela dan laporkanlah kepada pihak berwajib jika kita ternampak perlakuan yang negatif dan menyalahi undang-undang dan agama.

0 comments:

Post a Comment