iman itu bukan hanya pada angan-angan dan cita-cita, bukan pula dengan bicara kata tetapi ia apa yang tersemat dalam jiwa dan dibuktikan pula dengan amalannya (langit ilahi 3 : fanzuru)

Kemanisan Iman

salam....dah lama tak mencoret atas blog ini.... mesti anda semua sering kali medengar perkataan Halawatul iman
“Halwatul Iman” (kemanisan iman) adalah suatu kemuncak yang ditekankan dalam pendidikan dan amalan tassauf yang merupakan diantara cabang sendi agama dan amalan sufi. Sebagai seorang Islam kita dituntut melakukan suruhan agama, dan kita merasa untuk melaksanakan ibadat lahiriah teramat susah. Oleh itu apabila dituntut melaksanakan ibadat bathiniah tentulah terasa lebih sukar lagi.

Jika orang yang kemas ibadatnya dan kukuh syariat nya pun belum tentu dapat melaksanakan amalan (syariat bathiniah) dengan beristiqamah yang bersungguh-sungguh pada Allah swt. Apatah lagi orang yang syariat lahirriahnya sentiasa terabai. Orang-orang seperti ini akan terasa lebih-lebih lagi susahnya untuk mendapat amalan bathiniah.

Syariat itu ibarat sebatang pohon, maka amalan batin itulah menjadi buahnya. Orang yang sudah ada pohon masih belum tentu mendapat buahnya jika pokok tidak berbuah. Jadinya kalau orang yang tidak langsung bertanam pohon sudah pastinya lebih sukar memperolehi buah. Maka kiasan di atas dapat dikaitkan dengan orang yang tidak memiliki amalan syariat maka susahlah untuknya merasakan kemanisan dan keindahan iman itu.

Para ulamak dan guru telah menggariskan beberapa perkara yang diantaranya susah untuk mendapat halwatul iman itu ialah:

Ketika kita bersembahyang lahirnya yang kita lihat adalah qiam, rukuk dan sujud. Mulutnya terkumat-kamit membaca bacaan sembahyang, tetapi di kala itu di manakah hati dan fikiran kita berada? Adakah kedua-duanya sedang mengadap Allah swt dengan penuh rasa khusyuk dan tawaduk, rasa rendah dan hina diri dengan penuh pengabdian dan harapan serta malu dan takut kepada Allah swt? Atau sebaliknya hati dan fikiran kita sedang terbang menerawang jauh entah ke mana dengan membelakangi Allah swt yang di kala itu sedang kita sembah.

Pernahkah selalu atau sesekali kita merasa indah, damai dan nikmat apabila dapat bersendirian di tempat sunyi kerana mengingati Allah swt dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepadaNya? Di saat itu kita merasa teramat rendah dan hina diri, menyesali segala dosa-dosa dan kelalaian dahulu, kemudian kita mengingatiNya sambil berazam untuk menambahkan amal bakti kepadaNya.

Kalau ada orang Islam yang sakit atau menderita samada kita kenalnya atau pun tidak maka adakah hati

kita merasa kasih untuk membantu serta mendoakan dari jauh atau dekat akan keselamatan, kesejahteraannya dan sanggup menghulurkan bantuan. (Terdahulu Ar-Risalah 4/2000 melancarkan Tabung Amal Jariah PILGM tetapi malangnya sambutan teramat dingin).

Pernahkah kita menghitung harta kita, rumah, kereta, pakaian, wang simpanan dan lain-lain? Ini mungkin selalu. Tetapi pernahkah kita menghitung semua harta kita itu dengan mengkaji halal haramnya, menghitung lebihan harta itu yang melebihi keperluan hidup kita yang mana semua itu akan dihisab, ditanya oleh Allah swt. Kalau baik cara kita membuat kebajikan akan dimuliakan olehNya sebaliknya jika kita bakhil kedekut dan berkira, akan dihina, dicerca dan diazab oleh Allah swt di akhirat akibat membesarkan dunia dan memperkecilkan akhirat.

Pernahkah kita menghitung dosa-dosa lahir dan dosa-dosa batin sambil menangis kerana menyesal? Dan dalam masa yang sama terlalu sedikit kita beristighfar (bertaubat) dibandingkan dengan dosa-dosa kita yang amat banyak. Jika kita pernah maka adakah kita melakukannya secara istiqamah setiap bulan, minggu atau setiap hari?

Sentiasakah hati kita mengingati pada MATI yang pasti datang bila-bila masa saja? Dan pernahkah kita bersyukur kerana masih hidup serta diberi masa dan peluang untuk bertaubat dan mencari jalan untuk mentaati kepadaNya.

Pernahkah kita menyesali tentang orang-orang yang dulunya kita kasari, umpatkan dia, tipu, fitnah dan aniaya tidak kira siapa baik ibubapa, suami, isteri, anak-anak, adik, abang, kakak, tetangga, kawan, orang lain di jalan, pasar dan tempat kerja supaya kita memohon maaf kepada mereka di dunia sebelum dipanjangkan ke akhirat.

Ketika mendapat sesuatu yang tidak kita ingini atau usaha dan harapan yang tidak kesampaian pernahkah kita ridha dengan Allah swt bahawa itu adalah selayaknya pemberian untuk kita yang serba hina dan daif ini sehingga kita menginsafi semua kekurangan diri sendiri.

Kalau ada orang mencerca, mengumpat dan menfitnah bolehkah kita tenang, sabar tanpa sakit hati atau berperasa-an dendam bahkan kita sanggup memaafkan orang itu serta mendoakan kesejahteraannya.

Begitu juga kalau orang menipu, menganiayai dan mencuri harta kita apakah boleh kita relakan saja atas dasar kita akan mendapat kelebihan dan ganjaran daripadaNya.

Untuk mendapat jawapan positif bagi persoalan-persoalan di atas memanglah amat sukar kerana sememang nya payah dan teramat rumit untuk melaksana kan amalan-amalan batiniah sehingga banyak orang yang tidak ambil perdulikannya. Tetapi bagi insan yang endah dan sadar di situlah minatnya yang tertuju, bercita-cita dan berusaha untuk membersihkan diri dan jiwa “mujahadatun nafs”.

Ulamak-ulamak berkata, “Perjuangan itu terbahagi 10 bahagian. Satu bahagian untuk melawan musuh-musuh nyata (orang kafir, munafik, yahudi dan nasrani) dan ianya di waktu-waktu yang tertentu sahaja (tidak sepanjang masa). Dan 9 bahagian ialah untuk melawan musuh-musuh dalaman batin (riak, ujub, pamarah, sayangkan harta, tamak dan lain-lain) dan ianya dilakukan berterusan (sepanjang masa).”

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment