iman itu bukan hanya pada angan-angan dan cita-cita, bukan pula dengan bicara kata tetapi ia apa yang tersemat dalam jiwa dan dibuktikan pula dengan amalannya (langit ilahi 3 : fanzuru)

ketaatan uwais

Nabi berpesan kepada Umar dan Ali :

“ Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. ”

Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai “ al-Mubasyirun bil Jannah ” iaitu mereka sudah dijamin masuk syurga. Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali :

“ Di zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doanya sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Umar dan Ali bertanya kepada Nabi s.a.w. soalan yang sama iaitu :

“ Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? "

Nabi menjawab :

“ Kamu minta kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian."

Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan Nabi s.a.w. , minta sesuatu yang baik kepada mereka, Nabi s.a.w. menjawab :

“ Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt. ”

Maka topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu dicari, yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Kalau secara logiknya, ahli syurga seolah tidak perlu kepada pengampunan dosa daripada Allah s.w.t. kerana mereka sudah dijamin masuk syurga, namun tidak, Nabi s.a.w. masih menekankan supaya meminta Allah untuk mengampunkan dosa.

Memang benarlah firasat seorang Nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari arah Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni. Dengan pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Nabi s.a.w. maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan dia seorang yang kurang berakal.

Siapakah Uwais Al-Qarni?

Asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya “ Haudat ”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur hari demi hari dan berkata kepada anaknya pada suatu hari :

“ Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji. ”

Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dirinya gila.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.



Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya :

“ Uwais, apa yang kamu doa sepanjang kamu berada di Mekah? ”

Uwais menjawab :

“ Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi :

“ Bagaimana pula dengan dosa kamu? ”

Uwais menjawab :

“ Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga. "

Ibunya berkata lagi :

“Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini. "

Uwais berkata :

“ Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala. "

Ibunya menambah :

“ Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, ibu perintahkan engkau berdoa. "

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibunya minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa :

“ Tolonglah Ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit. ”

Allah s.w.t. menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Nabi s.a.w. kepada Umar dan Ali.

" Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni. "

Tidak lama kemudian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Sayyidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. , mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah swt. mengampunkan semua dosa-dosa mereka. Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata :

“ Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. "

Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Pemeliharaan iman

Banyak orang menyangka ia orang beriman. Tetapi bila diuji keimanan mereka oleh Allah menerusi solat, ibadat, kesusahan, penyakit dan sebagainya, ternyata mereka sebenarnya tidak beriman yang sebenar.

Mereka menyangka mereka beriman kerana mereka beriman secara keturunan. Bapanya Islam, maka dia pun Islam. Iman perlu diusahakan untuk memperolehinya.

Bagaimanakah hendak mendapat Iman?

1. Melalui mujahadatunnaf. Mujanadatunnaf ialah berjuang melawan hawa nafsu jahat dan melawan bisikan syaitan yang sentiasa mengajak dan mendorong kita ke jalan kejahatan.

Latihan-latihannya adalah melalui 3 peringkat iaitu:

  • Takhalli : Takhalli ialah berusaha berjuangmembuang segala sifat-sifat jahat atau embersihkanjiwa kita daripada sifat jahat atau mazmunah
  • Tahalli :Tahalli ialah mengisi jiwa kita dengansifat baik (Mahmudah). Setelah kerja pembersihanselesai kita isi pula wadah (jiwa dan hati) denganperkara b aik.
  • Tajalli : Peringkat Tajalli ialah peringkat merasanikmat meninggal atau membuang sifat jahat dan merasanikmat mengisi atau melakukan sifat baik serta merasakeagungan dan kehebaan Allah. Orang yang dapatmembuang sifat-sifat jahat dan dapat pula menghiasidirinya dengan sifat baik, Allah akan singkap hatinyadapat merasa nikmatnya beribadah dan nikmat sentiasamengingat Allah dan sentiasa ingin membuat kebaikan.

2. Cara atau peringkat kedua ialah melalui mengerjakan amalan sunat. Terutama sembahyang sunat khususnya diwaktu malam (sembahyang tahajjud). Selain daripada amalan sembahyang sunat ialah puasa sunat, berdoa,baca Al Quran dan sebagainya.

3. Cara dan peringkat ketiga untuk mendapatkan imanialah melalui tafakur. Tafakur atau berfikir atau merenung ialah salah satu cara mendapatkan iman. Khususnya merenung dan berfikir akan kebesaran Allah dan kehebatan serta hikmah sesuatu yang dijadikan oleh Allah sama ada berbentuk benda (alam, muka bumi, bintang dan lain-lain) dan juga kejadian-kejadian ke tas diri kita seperti nikmat dan ujian. Semuanya mempunyai hikmah yang kalau kita renungkan akan mendapat iman. Jelaslah bahawa iman perlu diusahakan untuk mendapatkannya. Susah payah pasti akan diharungi. Pengorbanan perlu dilakukan. Siapa yang memperolehi iman secara mudah, contohnya seperti orang Melayu yang memperolehi iman secara keturunan, biasanya amat mudah pula mereka merosakkannya. Siapa yang memperolehi iman secara susah payah,maka dipeliharanya iman mereka.

Cara Memelihara Iman

Iman perlu dipelihara kerana ia akan dirosakkan olehnafsu dan syaitan. Dengan itu ada orang beriman yangkemudiannya jadi tidak beriman kerana imannya telahdirosakkan.

Cara memelihara iman:

  1. Mengawal iman supaya tidak rosak. Iman boleh rosak menerusi Iktiqad seperti meragui hadis Nabi, meragui hukum dan undang-undang Islam dan sebagainya. Perkataan atau ucapan seperti menghina Rasulullah, tidak yakin hukum Allah dan sebagainya. Perbuatan seperti melakukan perbuatan syirik, memohon pertolongan kepada selain dari Allah.
  2. Menjaga Iman. Iman yang telah ada pada kita kena dikawal dengan beberapa sifat diri kita. Yakin pada agama Allah dan perintahnya Ikhlas dalam melaksanakan amalan. Contohnya solat hendaklah atas niat taat kepada Allah bukan kerana menunjuk atau kerana malu atau kerana dipaksa. Selalu melakukan amalan sunat Istiqamah dalam ibadat. Ibadat yang kita lakukan hendaklah berkekalan, bukan dikerjakan secara bermusim, atau bila lapang baru buat. Beramal dengan penuh tertib dan khusyuk.

bergurau dalam pergaulan

Biasanya kita lihat orang yang suka bergurau wajahnya selalu kelihatan muda dan menyenangkan. Di mana-mana tidak pernah kelihatan murung, sebaliknya kehidupannya penuh dengan keriangan. Amat berbeza dengan orang yang pendiam dan serius dalam kehidupannya mempunyai raut wajah yang berlainan. Wajahnya kelihatan tua walaupun umurnya masih lagi muda dan ada yang sampaikan muda-muda lagi sudah beruban.
Bergurau di dalam Islam tidaklah dilarang asalkan gurauan itu ada haq. Sebaliknya kalau gurauan itu dimaksudkan untuk membuatkan orang lain ketawa atau agar ia ditertawakan, sudah tentu ia dilarang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Barang siapa berbicara dengan sesuatu kalimat sehungga kalimat itu menjadi tertawa sahabat-sahabatnya, nescaya Allah bakal menyiksanya kelak di dalam neraka.”
Pada zaman Rasulullah S.A.W bergurau ini sudah berlaku di dalam pergaulan. Bahkan baginda sendiri pernah bergurau dengan keluarganya atau para sahabat-sahabatnya.
Pernah menurut hadith yang bersumber dari Hassan ada seorang nenek dating menghadap baginda, di hadapan baginda beliau berkata :
“Wahai Rasulullah doakanlah agar saya dapat masuk syurga.”
“Wahai nenek, ketahuilah bahawa di syurga kelak tidak terdapat orang tua seperti kamu,”jawab Rasulullah S.A.W..
Spontan sahaja nenek tua itu terus menangis setelah mendengar sabda Rasulullah S.A.W. yang demikian, tetapi kemudian sambil tersenyum baginda bersabda : “Bukan aku katakan bahawa tidak ada orang tua yang masuk ke syurga. Kerana semuanya telah berubah menjadi gadis-gadis perawan. Ingatlah firman Allah Yang Maksudnya :
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa”.
“Serta kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh).” ( Surah Al-Waaqi’ah: 35-36)
Ketika mendengar jawapan itu,dengan spontan wanita tua itu tertawa, dan mengerti bahawa dia akan menjadi gadis di syurga.
Berdasarkan kisah tadi, dapat kita lihat bahawa kehidupan Rasulullah juga tidak lepas dari gurauan. Mungkin dari segi ini pulalah beliau kemudiannya mendapat simpati daripada pengikut-pengikutnya.
Mereka tidak merasa bosan walaupun dalam suasana menderita akibat tekanan berat dari orang-orang Quraisy. Kesemuanya dihadapi dengan tenang dan penuh dengan kegembiraan, dengan muka yang berseri-seri, namun begitu sentiasa berwaspada. Itulah keperibadian Rasulullah S.A.W, dimana gurauan dibuatnya sebagai selingan dalam pergaulan. Dengan demikian, suasana kehidupan menjadi lebih menarik dan penuh dengan semangat.
Masalah gurauan ini bukan hanya terbatas dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sahaja, melainkan para sahabat dan bahkan kepada keluarga Rasulullah S.A.W sendiripun kadang-kadang bergurau.
Pada suatu hari Rasulullah S.A.W berada di rumah Aisyah R.A. Kebetulan pada waktu itu Aisyah sedang memsak bubur haritsah. Bila bubur itu masak dia menghidangkannya kepada Saudah dan Rasulullah S.A.W.. Tetapi Saudah lalu berkata :
“Maaf, saya tidak suka makanan ini.”
“Demi Allah, kamu harus makan buburku ini atau kusapukan ke mukamu,”jawab Aisyah.
Lalu segera Aisyah mengambil sedikit bubur dan disapukan ke muka Saudah. Begitu juga yang dilakukan oleh Saudah lalu disapukan ke muka Aisyah. Melihat kejadian itu, Rasulullah S.A.W. hanya tersenyum simpul.
Sesungguhnya bergurau itu disenangi oleh semua pihak asalkan tidak melampaui batasnya. Tidaklah kira pangkat atau keturunan, tua atau muda,lelaki atau perempuan, bahkan juga kanak-kanak pun sukakan gurauan. Kerana bergurau adalah bunga dalam pergaulan dan pelipur lara setia di kala duka. Sewaktu Saiyidina Ali R.A menjawat jawatan khalifah ada salah seorang rakyatnya yang datang bertanya kepadanya :
“Wahai Amirul Mukminin, pada zaman khalifah Abu Bakar dan Umar suasana negara selalunya aman. Tidak berlaku sebarang kekacauan dan juga perselisihan. Tetapi sekarang setelah tuan menjawat jawatan ini, ternyata keadaan negara kacau bilau dan tidak lagi tenteram. Kenapakah ini yang berlaku?”
“Tentu sahaja, sebab dahulu ketika kedua itu menjawat jawatan sebagai khalifah, rakyatnya terdiri dari orang-orang seperti saya. Maka amanlah keadaan negara. Tetapi sekarang ini ketika saya menjadi khalifah, rakyat terdiri daripada orang-orang sperti kamu. Maka rosaklah negara.” Jawab Saiyidina Umar sambil tersenyum.
Walaubagimanapun, janganlah ada dikalangan kita bergurau sembarangan. Berguraulah dengan sopan dan tidak menyingung perasaan sesiapa dan menghina agama. Sungguhpun bergurau itu tidak dilarang, tetapi terlebih bergurau juga tidak elok. Al-Ahnaf berkata : “ Banyak tertawa menghilangkan kewibawaan, sedang banyak bergurau menghilang harga diri.”
Juga didalam sebuah hadith disebutkan,
Maksudnya :
“Barangsiapa yang banyak ketawa, nescaya orang lain akan meremehkannya.”
Pada suatu hari Rasulullah S.A.W bertemu dengan Shuhaib yang sedang sakit mata sedang makan kurma. Lalu beliau menegurnya :
“Hai Shuhaib, adakah kamu makan kurma sedangkan matamu sakit?”
“Betul ya Rasulullah, tetapi saya memakannya dengan sebelah mata yang sihat,”jawab Shuhaib bergurau.
Mendengar jawaban itu Rasulullah S.A.W lalu tersenyum. Tetapi sebahagian mereka mengatakan pada waktu itu baginda tertawa hingga menampakan gig-gigi serinya.
Demikian inilah kegunaan gurau dalam pergaulan, dimana Rasulullah S.A.W dan para sahabat juga kadang-kadang bergurau. Hanya yang perlu diingatkan, janganlah ada yang bergurau melampaui batas yang sepatutnya. Seperti menyinggung perasaan orang lain, lupa tanggungjawab kepada agama dan melebihi had tatacara pergaulan.
Selang-selikanlah kehidupan ini dengan bergurau kerana sesuai dengan tuntutan Rasulullah S.A.W. Pasti kehidupan ini akan lebih bersemarak. Penuh dengan keghairahan kerja dan ibadah serta tidak merasa kebosanan.

Kemanisan Iman

salam....dah lama tak mencoret atas blog ini.... mesti anda semua sering kali medengar perkataan Halawatul iman
“Halwatul Iman” (kemanisan iman) adalah suatu kemuncak yang ditekankan dalam pendidikan dan amalan tassauf yang merupakan diantara cabang sendi agama dan amalan sufi. Sebagai seorang Islam kita dituntut melakukan suruhan agama, dan kita merasa untuk melaksanakan ibadat lahiriah teramat susah. Oleh itu apabila dituntut melaksanakan ibadat bathiniah tentulah terasa lebih sukar lagi.

Jika orang yang kemas ibadatnya dan kukuh syariat nya pun belum tentu dapat melaksanakan amalan (syariat bathiniah) dengan beristiqamah yang bersungguh-sungguh pada Allah swt. Apatah lagi orang yang syariat lahirriahnya sentiasa terabai. Orang-orang seperti ini akan terasa lebih-lebih lagi susahnya untuk mendapat amalan bathiniah.

Syariat itu ibarat sebatang pohon, maka amalan batin itulah menjadi buahnya. Orang yang sudah ada pohon masih belum tentu mendapat buahnya jika pokok tidak berbuah. Jadinya kalau orang yang tidak langsung bertanam pohon sudah pastinya lebih sukar memperolehi buah. Maka kiasan di atas dapat dikaitkan dengan orang yang tidak memiliki amalan syariat maka susahlah untuknya merasakan kemanisan dan keindahan iman itu.

Para ulamak dan guru telah menggariskan beberapa perkara yang diantaranya susah untuk mendapat halwatul iman itu ialah:

Ketika kita bersembahyang lahirnya yang kita lihat adalah qiam, rukuk dan sujud. Mulutnya terkumat-kamit membaca bacaan sembahyang, tetapi di kala itu di manakah hati dan fikiran kita berada? Adakah kedua-duanya sedang mengadap Allah swt dengan penuh rasa khusyuk dan tawaduk, rasa rendah dan hina diri dengan penuh pengabdian dan harapan serta malu dan takut kepada Allah swt? Atau sebaliknya hati dan fikiran kita sedang terbang menerawang jauh entah ke mana dengan membelakangi Allah swt yang di kala itu sedang kita sembah.

Pernahkah selalu atau sesekali kita merasa indah, damai dan nikmat apabila dapat bersendirian di tempat sunyi kerana mengingati Allah swt dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepadaNya? Di saat itu kita merasa teramat rendah dan hina diri, menyesali segala dosa-dosa dan kelalaian dahulu, kemudian kita mengingatiNya sambil berazam untuk menambahkan amal bakti kepadaNya.

Kalau ada orang Islam yang sakit atau menderita samada kita kenalnya atau pun tidak maka adakah hati

kita merasa kasih untuk membantu serta mendoakan dari jauh atau dekat akan keselamatan, kesejahteraannya dan sanggup menghulurkan bantuan. (Terdahulu Ar-Risalah 4/2000 melancarkan Tabung Amal Jariah PILGM tetapi malangnya sambutan teramat dingin).

Pernahkah kita menghitung harta kita, rumah, kereta, pakaian, wang simpanan dan lain-lain? Ini mungkin selalu. Tetapi pernahkah kita menghitung semua harta kita itu dengan mengkaji halal haramnya, menghitung lebihan harta itu yang melebihi keperluan hidup kita yang mana semua itu akan dihisab, ditanya oleh Allah swt. Kalau baik cara kita membuat kebajikan akan dimuliakan olehNya sebaliknya jika kita bakhil kedekut dan berkira, akan dihina, dicerca dan diazab oleh Allah swt di akhirat akibat membesarkan dunia dan memperkecilkan akhirat.

Pernahkah kita menghitung dosa-dosa lahir dan dosa-dosa batin sambil menangis kerana menyesal? Dan dalam masa yang sama terlalu sedikit kita beristighfar (bertaubat) dibandingkan dengan dosa-dosa kita yang amat banyak. Jika kita pernah maka adakah kita melakukannya secara istiqamah setiap bulan, minggu atau setiap hari?

Sentiasakah hati kita mengingati pada MATI yang pasti datang bila-bila masa saja? Dan pernahkah kita bersyukur kerana masih hidup serta diberi masa dan peluang untuk bertaubat dan mencari jalan untuk mentaati kepadaNya.

Pernahkah kita menyesali tentang orang-orang yang dulunya kita kasari, umpatkan dia, tipu, fitnah dan aniaya tidak kira siapa baik ibubapa, suami, isteri, anak-anak, adik, abang, kakak, tetangga, kawan, orang lain di jalan, pasar dan tempat kerja supaya kita memohon maaf kepada mereka di dunia sebelum dipanjangkan ke akhirat.

Ketika mendapat sesuatu yang tidak kita ingini atau usaha dan harapan yang tidak kesampaian pernahkah kita ridha dengan Allah swt bahawa itu adalah selayaknya pemberian untuk kita yang serba hina dan daif ini sehingga kita menginsafi semua kekurangan diri sendiri.

Kalau ada orang mencerca, mengumpat dan menfitnah bolehkah kita tenang, sabar tanpa sakit hati atau berperasa-an dendam bahkan kita sanggup memaafkan orang itu serta mendoakan kesejahteraannya.

Begitu juga kalau orang menipu, menganiayai dan mencuri harta kita apakah boleh kita relakan saja atas dasar kita akan mendapat kelebihan dan ganjaran daripadaNya.

Untuk mendapat jawapan positif bagi persoalan-persoalan di atas memanglah amat sukar kerana sememang nya payah dan teramat rumit untuk melaksana kan amalan-amalan batiniah sehingga banyak orang yang tidak ambil perdulikannya. Tetapi bagi insan yang endah dan sadar di situlah minatnya yang tertuju, bercita-cita dan berusaha untuk membersihkan diri dan jiwa “mujahadatun nafs”.

Ulamak-ulamak berkata, “Perjuangan itu terbahagi 10 bahagian. Satu bahagian untuk melawan musuh-musuh nyata (orang kafir, munafik, yahudi dan nasrani) dan ianya di waktu-waktu yang tertentu sahaja (tidak sepanjang masa). Dan 9 bahagian ialah untuk melawan musuh-musuh dalaman batin (riak, ujub, pamarah, sayangkan harta, tamak dan lain-lain) dan ianya dilakukan berterusan (sepanjang masa).”

Wassalam.