iman itu bukan hanya pada angan-angan dan cita-cita, bukan pula dengan bicara kata tetapi ia apa yang tersemat dalam jiwa dan dibuktikan pula dengan amalannya (langit ilahi 3 : fanzuru)

ketenangan yang di cari

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.

Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.



  • Dimensi kata, rasa dan tindakan

Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8 Firman Allah lagi: “… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:

  • Rasa kehambaan.
  • Rasa bertuhan.
  • Memahami maksud takdir.
  • Mendapat hikmah di sebalik ujian.

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

  • Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah: “Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.

Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.

Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah: “…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

  • Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah: “Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah: “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

  • Memahami maksud takdir Allah.

Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya: “Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya” Surah Al Baqarah : 216 Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”

  • Mendapat hikmah bila diuji.

Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!” Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji. Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” (Surah al-Baqarah: 214) Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah. Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan.

Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain. Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati.

Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya. Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri

Mengapa mereka lebih baik

Usai solat Subuh Jumaat sering menghadiahkan detik terbaik untuk bermuhasabah. Kita undur selangkah ke belakang, untuk melonjak beberapa langkah ke hadapan. Merenung kesilapan dan kesalahan silam, betapa dungunya dan terburu-burunya sikap kita yang selalunya sangat merugikan.

Akibatnya, sering kita kehilangan sahabat terapat. Renggang dengan orang tersayang. Dan yang paling tragis kehilangan rasa hati yang lembut, halus dan beradab.

Namun, segera teringat kata-kata pengukuhan yang bersemi dalam hati (terutamanya akhir-akhir ini), “sebaik sahaja mengambil pelajaran daripada masa silam… lupakan dan pandanglah masa depan – yesterday ended last night!

Jika punya kesempatan carilah ruang untuk memohon maaf, memohon doa dan melakukan amalan-amalan baik sebagai penebus kesalahan silam. Jika tidak, bertekadlah untuk tidak mengulanginya. Jangan jadikan ia trauma yang menghalang pencapaian kita hari ini dan esok. Menyesal itu baik, tetapi ia bukan belenggu yang menghalang kita untuk mencipta kebaikan dan kecemerlangan baru.

Ya, pagi ini mentari masih bersinar, awan gemawan masih mewarnai dada langit dan udara masih dapat kita hirup seadanya. Alhamdulillah syukur… Apapun yang akan berlaku, asalkan kita dekat dengan Allah, lurus, tulus dan telus dalam hati, kesilapan kita akan diperbaiki. Bukankah kesilapan ini bukti yang kita masih manusia? Lalu kita akan selalu dan sentiasa memperperbaharui taubat. Come what may… pahit, kita belajar bersabar, manis… kita melatih diri bersyukur.

Hari ini dan hari-hari seterusnya pasti ada air mata dan ketawa, ada mudah dan payah, ada patah dan tumbuh, modal kita cuma satu, hadapilah segalanya sebagai hamba Allah. Mengaku lemah, untuk diperkukuhkan-Nya, mengaku jahil untuk diberikan ilmu, mengaku miskin untuk diperkayakan-Nya. Kita beruasaha melurus segala tadbir, agar mampu menerima setulus segala takdir. Sentiasa mengharapkan yang terbaik, tetapi terus bersedia untuk hadapi yang terburuk.

Pesan ku buat diri dan sahabat-sahabat, kekalkan taubat. Istighfar dan selawat jadikan basahan bibir. Bila terlintas dan terjebak dengan dosa, bertaubat dan terus ‘hukum’ diri dengan melaksanakan satu kebaikan walaupun yang kita tidak suka. Ingat, orang yang sentiasa berlatih untuk berjaya ialah dia yang melaksanakan sekurang-kurangnya 3 perkara yang tidak disukainya (walaupun sangat perlu) dalam satu hari.

Apakah 3 perkara itu? Mungkin minta maaf kepada orang yang kita tidak sukai, mungkin membuat aktiviti yang selama ini kita tangguhkan atau membuat panggilan kepada orang yang kita berhutang (sudah lebih masa tetapi belum berbayar). Carilah, carilah 3 perkara itu. Mungkin yang bersangkut dengan masa, harta, manusia atau dengan Allah. Ah, matahari telah cerah… mari kita melangkah. Tinggalkan segala resah. Pamitkan segala gelisah.

Hidup untuk memberi, bukan untuk membenci… siap siaganya untuk memberi senyuman, kebaikan, sedekah, kata-kata yang baik atau sekadar mendoakan.Memberi itu lebih membahagiakan daripada menerima. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti berbau harum. Jadilah tangan yang di atas, tangan yang selalu dan banyak memberi!

Ya, mentari kehidupan masih ada. Hari ini… esok? Belum tentu kita masih ada!

Oh, bagi sahabatku yang beberapa minggu dulu telah bertanya, aku hulurkan tulisan ini seadanya. Soalnya lewat SMS, “mengapa orang bukan Islam kekadang lebih jujur dan baik?” Dan inilah jawapanku sekadarnya…

“Aku hairan mengapa orang bukan Islam lebih jujur dan amanah daripada orang Islam?” kata seorang sahabat saya yang juga seorang jurutera. Saya diam. Memang ada kebenarannya jika dilihat selayang pandang.

“Awak lihat di negara-negara Barat, surat khabar dibeli hanya dengan meletakkan wang di dalam bekas di tepi jalan. Tidak ada orang mengelat untuk membayarnya.”

Cerita yang sama pernah saya dengar daripada kawan-kawan yang pulang dari London. Saya teruja dengan topik perbualan pagi itu. Mengapakah orang bukan Islam lebih baik perilakunya berbanding orang Islam? Jika benar, benarkah itu yang sebenarnya?

“Itu di Barat, cuba awak perhatikan di Jepun sewaktu dilanda tsunami baru-baru ini. Rakyatnya berbaris sewaktu menerima bantuan makanan. Peniaga menjual bateri yang sangat diperlukan sewaktu terputus bekalan elektrik dengan separuh harga. Nilai kemanusiaan mereka terlalu tinggi. Tidak ada sikap mengambil kesempatan dan mementingkan diri walaupun pada saat-saat kritikal. ”

“Kalau di negara-negara Islam?” tanya saya untuk menyemarakkan perbualan.

“Kita boleh lihat sendiri bagaimana umat Islam berebut-rebut mendapatkan bantuan makanan di kawasan yang dilanda bencana alam. Malu kita melihatnya. Di negara kita pun, apa kurangnya. Apabila ada kenderaan membawa makanan terlibat dengan kemalangan, penduduk sekitarnya berebut mengambil makanan yang bertabur. Itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang dan etika tetapi haram di sisi agama.”

Saya terus mengangguk-angguk, mengiakannya. Saya masih teringat bagaimana seorang mufti pernah memberi amaran agar wang yang diambil dari sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan suatu ketika dulu dipulangkan kerana perbuatan mengambil wang yang bukan milik kita adalah haram.

“Mengapakah sikap orang bukan Islam lebih baik daripada kita orang Islam?” Sekali lagi pertanyaan itu diajukan kepada saya. Dalam diam, saya terus berfikir.

“Secara fitrahnya manusia dicipta dengan potensi kebaikan. Setiap insan dibekalkan Allah dengan benih kebaikan secara tabii. Cuba kita lihat dalam realitinya… ada individu yang secara semula jadinya pemurah, mudah simpati, penyayang berbanding individu yang lain. Manakala ada pula yang lebih berani, tahan lasak, gigih…”

“Tidak kira orang Islam dan bukan Islam?”

“Ya. Tidak kira sama ada dia orang Islam atau bukan Islam, sama-sama Allah bekalkan benih kebaikan yang ada dalam diri setiap manusia… ”

“Kalau begitu, manusia boleh jadi baik tanpa Islam? Jadi apa gunanya diutus para Rasul jika tanpa agama pun manusia sudah boleh jadi baik?” soalnya bertalu-talu.

“Para Rasul terutamanya Nabi Muhammad diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Begitu yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Benih kebaikan yang diberikan sebelum ini ialah bekalan asasi daripada Allah untuk seorang insan menerima seruan kebenaran yang dibawa oleh para Rasul.”

“Menyempurnakan? Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan ‘menyempurnakan’ itu?”

“Maksudnya, benih kebaikan pada diri manusia memang sudah ada. Kedatangan Rasulullah s.a.w. adalah untuk lebih menyuburkan benih kebaikan itu.”

Melihat dia termenung, saya menambah, “umpama sebiji benih, untuk membesar ia perlu diberi air, baja, cahaya dan dijaga daripada serangga perosak. Jika semua itu dibuat, barulah ia boleh membesar menjadi pohon yang baik, berdaun, berdahan dan akhirnya berbuah. Itulah maksudnya dengan menyempurnakan.”

“Tanpa kedatangan Rasulullah?”

“Benih itu boleh tumbuh juga tetapi tidak sempurna. Mungkin terbantut, tidak hidup lama dan mungkin mati sebelum berbuah. Maka begitulah sikap baik manusia tanpa pimpinan agama, akan mudah terhakis, tidak holistik, tidak tahan lama dan tidak tahan uji.”

“Maksud awak?”

“Mungkin ada orang yang baik dalam perkara-perkara tertentu, tetapi dalam perkara yang lainnya tidak. Orang Barat mungkin jujur dalam soal kewangan, tetapi tidak jujur dalam pergaulan lelaki perempuan. Perzinaan, homoseksual, lesbian dan bersekedudukan sudah menjadi kebiasaan, ” kata saya.

“ Orang Jepun pula mungkin baik daripada hubungan sosial dan kemanusiaan, tetapi kecundang daripada segi spiritual. Kejadian bunuh diri, buli dan stres berleluasa di kalangan masyarakat mereka. Tetapi konsep akhlak dalam Islam itu lebih menyeluruh dan sepadu, akhlak dengan Allah, dengan manusia, dalam ekonomi, sosial dan seluruh sistem kehidupan,” dia menambah.

Kemudian dia terus termenung. Keningnya berkerut, lantas berkata “tetapi…”

“Tetapi masyarakat Islam hari ini tidak begitu bukan?” ujar saya menangkap apa yang sedang difikirkannya.

“Ya. Kenapa?”

“Banyak dan besar bezanya antara masyarakat Islam dengan masyarakat umat Islam. Sekarang ini hanya ada masyarakat umat Islam.”

“Saya masih keliru, apa maksud awak?”

“Percayakah awak ramai orang Islam yang tidak mengamalkan sifat kejiranan, pentingkan diri, hidup nafsu-nafsi, minum arak, bergaul bebas, makan riba, tidak solat dan mengamalkan lain-lain kemungkaran? Kita nak namakan apa mereka tu, orang Islam?”

“Ya, memang tetap beragama Islam. Selagi mereka bersyahadah kita tidak boleh menuduh mereka kafir.”

“Betul, mereka tetap orang Islam. Jika mereka bermasyarakat, masyarakat mereka dinamakan masyarakat umat Islam. Tetapi bukan masyarakat Islam. Masyarakat Islam hanya terbentuk apabila setiap anggotanya mengamalkan hidup berpandukan syariat yakni peraturan Allah dalam semua bidang kehidupan…”

“Tadi awak kata sikap baik yang dibentuk berdasarkan tabii sahaja tidak tahan uji…cuba jelaskan,” ujarnya mengalih fokus perbualan kepada persoalan asal – mengapa orang bukan Islam lebih baik?

“Ya, mungkin atas dasar tabii seseorang boleh melakukan kebaikan selagi dibalas dengan kebaikan tetapi jika kebaikannya dibalas dengan kejahatan, dia tidak mampu lagi untuk bertahan atau ketulusannya akan terjejas.”

“Apa kaitannya semua ini dengan persoalan saya tadi, mengapakah orang bukan Islam lebih jujur daripada orang Islam sendiri?”

“Itu kerana faktor tabii individu yang lama-kelamaan menjadi budaya sesuatu bangsa, kelompok atau negara. Misalnya, orang Inggeris terkenal dengan budaya bersih, menepati waktu dan berterus terang. Itu budaya bangsa yang pada asalnya ialah tabiat individu. Namun apabila ramai individu dalam bangsa itu yang bersikap demikian dan diamalkan pula pada setiap masa dan keadaan, maka jadilah budaya bangsa tersebut. Al-hasil, budaya bangsa itu pun tersentuk secara ‘evolusi ‘dan ‘gradually’. Misalnya, bangsa Inggeris itu bersih, menepati waktu dan berterus terang.”

“Seperti budaya bangsa Arab yang cekal, menghormati tetamu dan berani. Bangsa Melayu yang sinonim dengan sikap lemah lembut, pemalu, ramah mesra dan mengenang budi. Bangsa Cina yang tahan menyimpan rahsia, sabar dan gigih berusaha. Bangsa Jepun yang terkenal dengan berani, berdisiplin dan bekerjasama. Itu semua berasal daripada sifat tabii individu yang kemudiannya membentuk budaya sesuatu bangsa. Itu maksud awak?” tambahnya.

Saya hanya mengangguk, alhamdulillah, dia cepat menangkap apa yang saya maksudkan.

“Namun, harus diingat, tanpa Islam budaya bangsa walau sebaik mana pun tidak akan mampu bertahan. Tambahan pula dalam arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini. Penyebaran budaya Barat menerusi teknologi maklumat serta dasar neokolonialismenya yang terus-menerus melancarkan proses “homogenisasi” agar budaya hidup liberal diamalkan di seluruh dunia.”

“Saya terbaca, semangat generasi muda Jepun kini tidak sekental nenek moyang mereka dahulu. Generasi Cina yang ketiga juga khabarnya sedang mengalami kelembapan. Begitu juga generasi muda Melayu, sudah kurang adab dan rasa malunya… Budaya punk, rock dan lain-lain melanda remaja seluruh dunia. Nilai-nilai ini dianggap maju, moden dan dinamik. Nilai-nilai tradisional dianggap mundur, jumud dan statik.”

“Semua bangsa hakikatnya sedang mengalami hakisan budaya. Budaya kuning. Sekarang sedang berlaku coca-colonization, budaya hidup popular mengambil sempena jenama minuman popular Amerika, Coca-cola. Dengan ini, budaya hidup berdasarkan isme liberal kapitalis tajaan Amerika bercita-cita untuk melunturkan nilai-nilai tradisi semua bangsa di dunia. Penjajahan pemikiran dan budaya ini akan memberi keuntungan kepada Barat yang menjadi pengeluar utama produk-produk hedonisme ini.”

“Bagaimanakah kita menahannya?”

“Kembali kepada agama. Kita sempurnakan akhlak kita dengan wahyu dan hadis yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, utusan Allah. Amalkan ajaran Islam bermula daripada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ayuh kita tegakkan hukum-hakam Allah bermula dari bidang sekecil-kecilnya, sampailah kepada yang sebesar-besarnya.”

“Ya, tetapi seperti yang saya katakan tadi, ada orang Islam yang lebih teruk perilakunya. Kadar rasuah negara Islam lebih tinggi daripada negara bukan Islam.”

“Maaf, negara umat Islam bukan negara Islam,” saya cuba mengingatkan.

“Ya. Maaf… negara umat Islam. Ini kerana kita orang Islam sendiri tidak berpegang dan mengamalkan ajaran Islam dengan serius. Kita cuma ada benih kebaikan, tetapi tidak menyubur dan menjaganya. Akhirnya, benih itu layu dan hampir mati. “

“Bagi orang bukan Islam?”

“Bagi bukan Islam, kekadang budaya bangsa atau tabiat baik individunya tetap dipelihara melalui kaedah penyuburan rasa cinta kepada nilai-nilai tradisi dan pengamalan disiplin hidup yang tinggi sejak kecil lagi, sama ada di dalam keluarga, sekolah-sekolah, organisasi atau masyarakat. Walaupun tidak sekukuh dan sesempurna kaedah Islam, namun itu lebih baik berbanding tidak ada usaha langsung.”

“Ya, masalah kita umat Islam, kita lepas kedua-duanya. Berpegang kepada ajaran agama pun tidak serius, berpegang kepada nilai tradisi bangsa pun tidak. Jadi benih kebaikan dalam umat Islam yang terbiar begitu sahaja,” ujar saya lagi.

“Jadi kebaikan orang bukan Islam hanya disebabkan kecintaan terhadap budaya mereka yang mampu dipertahankan hingga setakat ini?”

“Ya. Dan kelemahan kita umat Islam kerana budaya bangsa kita telah terhakis dan gagal memanfaatkan prinsip agama untuk membina dan menyuburkan semula budaya yang baik itu.”

“Maksud awak agama Islam itu satu budaya?”

“Tidak. Islam bukan ciptaan manusia. Jadi, ia bukan budaya. Tetapi jika hukum-hakam Islam diamalkan sebagai satu cara hidup, maka tertegaklah apa yang dikatakan budaya Islam. Contohnya, budaya Islam dalam menghormati tetamu, makan-minum, berpakaian, bergaul dan lain-lain. ”

“Budaya Islam tahan uji?”

“Ya, selagi orang yang mengamalkannya berpegang teguh kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Bukankah budaya itu lahir daripada karakter masyarakat? Manakala karakter pula dilazimkan oleh kelakuan. Dan kelakuan lahir daripada sikap. Sikap dibentuk oleh sistem nilai yang berpunca daripada set minda atau pandangan hidup. Dan pandangan hidup itu lahir daripada keyakinan. Maksudnya, selagi keyakinan kukuh, selagi itulah budaya yang baik itu utuh. Keyakinan dalam ajaran Islam itulah iman atau akidah. Itulah asas dan teras budaya Islam.”

“Jadi budaya Islam kini terhakis kerana lemahnya iman?”

“Ya, lemah iman, lunturlah budaya Islam. Hanya orang beriman mampu menegakkan budaya hidup Islam. Sebab itulah dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 14, Allah menegur orang yang mengaku beriman dengan firman-Nya yang bermaksud: “Katakan kamu belum beriman tetapi katakan kami telah tunduk yakni Islam kerana iman itu belum masuk ke hati kamu.”

“Jadi inilah yang menyebabkan kadangkala bukan Islam lebih baik kelakuannya daripada orang Islam sendiri…” katanya sambil mengangguk-angguk kepala.

“Jika umat Islam berpegang teguh kepada iman, karakter peribadi dan budaya yang terhasil lebih hebat daripada apa yang diamalkan oleh mana-mana bangsa pun di dunia sebelum, semasa dan sesudahnya.”

“Kenapa?”

“Kerana akar budaya kita lebih kukuh. Budaya Islam tertegak bukan kerana prinsip-prinsip luaran seperti keuntungan komersial, fanatik bangsa, kepentingan puak, kemegahan nama atau kuasa, tetapi atas dasar keyakinan kepada Allah dan hari Akhirat. Kita amalkan kebaikan kerana mengharapkan keampunan Allah dan syurga. Itu lebih ikhlas dan jujur. Berbanding kita buat baik kerana mengharapkan keuntungan ekonomi atau kuasa politik!”

“Maksudnya?” dia menyoal pendek.

“Ada orang jujur kerana dengan kejujuran, produknya akan lebih laku. Ada pekerja yang diminta senyum semasa melayan pelanggan kerana itu ada nilai komersial. Perkhidmatannya akan lebih laris. Ada yang menjaga kebajikan rakyat, hanya untuk mendapat undi dan mengekalkan kuasa. Itu tidak sejati. Jika produk tidak laku, perkhidmatan tidak laris, undi tidak bertambah? Bagaimana? Kita berhenti dan tawar hati untuk terus melakukan kebaikan?”

“Saya faham. Saya faham sekarang. Budaya kerja yang baik dan konsisten hanya didorong dari dalam. Bukan hanya soal ganjaran dan hukuman sahaja. Dan perbuatan baik kerana keimanan yang mendalam itu lebih tulus, konsisten, tahan uji,” katanya bersetuju.

“Sebenarnya, pernah muncul generasi Islam yang terbaik hasil didikan iman ini. Hingga kini mereka masih terbaik dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kaum, bangsa dan negara.”

“Siapa? Bagaimana? ”

“Generasi sahabat Rasulullah. Dalam perang Yarmuk misalnya, beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w. mengalami luka yang cukup parah. Seorang sahabat yang bernama Ikrimah memberikan air kepada seorang sahabat yang rasa haus dan sakit walaupun dia mengalami rasa yang sama. Namun ketika sahabat itu mahu minum, terdengar suara rintihan dari seorang sahabat lainnya, maka dia mengisyaratkan agar memberikan air tersebut kepada sahabat yang lain. Begitulah, air itu diserah kepada seorang kepada seorang lain kerana merasakan orang lain lebih memerlukan, sehinggalah kesemuanya meninggal dunia kerana mengutamakan saudaranya yang lain.”

“Wah, itu lebih hebat daripada apa yang berlaku di Jepun!”

“Itu hanya tinggal sejarah. Tetapi itu satu fakta penting menunjukkan budaya hidup Islam lebih hebat. Bagaimana Umar Ibnu Aziz memadamkan lampu minyak kerajaan apabila anaknya hendak bercakap soal keluarga bukan soal negara, bagaimana Sayidina Abu Bakar memuntahkan susu yang dibeli daripada sumber yang syubhah. Ah, terlalu banyak…”

“Tapi kita hanya Islam pada nama… tidak pada jiwa. Iman belum masuk ke hati. Hingga dengan itu tidak menimbulkan keyakinan yang akan merubah pandangan hidup, sistem nilai, sikap, kelakuan, karakter dan personaliti seterusnya budaya umat Islam. Budaya Islam belum ada, budaya Melayu semakin layu… Padahal jika budaya Melayu yang baik disempurnakan oleh faktor iman, maka kita akan berjaya mengatasi mana-mana pun bangsa di dunia seperti yang dibuktikan oleh umat Arab dahulu. Bukankah mereka itu asalnya jahiliah tetapi akhirnya menjadi umat pembina empayar…”

“Jadi tugas kita sekarang memasukkan iman ke dalam hati umat Islam?”

Saya diam. Ya, itulah jalan yang paling benar,walaupun jalan yang paling sukar. Itulah jalan yang paling singkat,walaupun terasa amat berat….teringat ungkapan perjuangan yang pernah saya dengar suatu ketika dahulu.

kesabaran yang diuji

بسم الله الرحمن الرحيم

bersyukur kehadrat ilahi kerana dilimpahi rahmat dan selawat ke atas nabi junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W dan tidak lupa untuk memohon maghfirah ke atas dosa yang dilakukan.

kehidupan yang kian mencabar pada hari ini sering kali menggugat keimanan ku apabila aku melihat dosa yang saban hari tidak lagi dipedulikan oleh sesetengah manusia...aku sering kali menghitung dosa-dosa yang aku lakukan setiap hari...apabila aku terlihat aurat-aurat kaum anjabi, aku berasa sedih kerana mereka langsung tidak menghiraukan tentang dosa-dosa yang ditanggung oleh meraka...

andaikan seseorang itu tidak memakai tudung dan keluar ke tempat-tempat awam...sudah tentu ramai yang akan melihat mereka...dan apabila mereka mengambil gambar dan memaparkannya di ruang internet...mereka akan mendapat dosa yang berlipat kali ganda...wallahualam...siapa yang tahu sekiranya mereka telah meninggal...dan gambar tersebut masih lagi menjadi tontonan...mereka akan terus mendapat dosa....

DALAM MEMAHAMI ERTI SEBENAR MENUTUP AURAT BAGI WANITA

Seperti yang kita tahu...Aurat perempuan adalah seluruh tubuh kecuali telapak tangan dan mukanya...Tetapi di zaman pasca moden ini mereka tidak segan silu membiarkan aurat mereka menjadi bahan tontonan...Tetapi itulah hakikatnya, mereka terbabit dengan amalan tabarruj iaitu perbuatan mendedahkan kecantikan rupa paras, sama ada kecantikan itu di bahagian muka atau anggota badan lain. Menurut al-Bakhari, tabarruj ialah wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.

Ketara sekali mereka yang berkenaan khususnya wanita yang mengakui Muslimat, tetapi sukar dikategorikan sebagai Mukminat, terlalu ingin memperagakan kecantikan diri atau keistimewaan sifat fizikal kewanitaan mereka.

Mereka berpakaian untuk menambahkan kecantikan, bukan untuk menutup aurat. Di samping itu, mereka bersolek dan menggayakan gerak serta lagak yang menarik ketika berada di luar rumah, sedangkan tidak demikian apabila berada di rumah.

Untuk mendapat perhatian orang ramai itulah mereka menghiasi diri dengan pakaian fesyen baru yang mengikut aliran semasa, indah serta mahal, diserikan dengan barang kemas mewah bergemerlapan, manakala wajah disolek bahan mekap berwarna-warni.

Pakaian mereka tidak berfungsi sebagai penutup aurat lagi, bukan untuk melindungi kecantikan daripada pandangan lelaki bukan mahram, sebaliknya mendedahkan habis-habisan. Sedangkan amalan itu ditegah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kalian (wanita Islam) tetap di rumah kalian berhias (bersolek) dan mendedahkannya (bertabarruj) seperti mereka lakukan oleh orang-orang jahiliah dulu." (Surah al Ahzab, ayat 33)

Selain terbabit amalan tabarruj, tradisi berpakaian dan bersolek kalangan wanita moden sekarang membuktikan umat manusia akhir zaman terutama wanitanya, sudah jauh berundur ke belakang untuk kembali ke zaman kuno dan mewarisi cara hidup kolot manusia primitif zaman batu, atau setidak-tidaknya mengamalkan cara hidup zaman jahiliah.

jika dilihat semula kehidupan pada hari ini...kehidupan tidak jauh berbeza sebelum kehadiran Islam...iaitu kehidupan pada zaman jahiliah...kejadian pembunuhan bayi tidak lagi mengenal jantina....minum arak dimana....dah sebagainya... mungkin inilah hakikat sebenarnya yang tidak lagi dapat dinafikan dan mungkin masih ada lagi insan yang bergelar khalifah masih lagi tidak sedar mengenai hakikat tersebut....


Jika ada yang memenuhi kewajipan menutup aurat, tidak memenuhi tuntutan mengikut kehendak hukum syarak. Contohnya, memang sudah ramai wanita memakai tudung tetapi pada masa sama, memakai baju dan kain atau seluar ketat yang jelas memperlihatkan bahagian tertentu badan mereka.

Berpakaian seperti itu sudah tentu tidak diterima sebagai menutup aurat, kerana menutup aurat dalam Islam bukan sekadar menutup kulit badan, tetapi melindungi rupa bentuk kulit semua bahagian anggota badan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa biasa nampak iaitu wajah dan kedua-dua tapak tangan) dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan kain tudung mereka dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka."

Maksud ayat itu sangat jelas, namun seolah-olah belum dapat difahami wanita. Buktinya mereka tidak mematuhi arahan menutup aurat itu sepenuhnya. Malah, ramai yang langsung tidak menghiraukannya.

Adakah mereka masih lagi tidak sedar bahawa mereka telah mempersendakan hukum Allah Azzawajalla apabila mereka mereka masih lagi memakai tudung tetapi tidak menutup lengan atau memakai pakaian yang ketat dan singkat... dan ada juga mendedahkan bahagian anggota lain seperti kedua belah betis apabila memakai seluar, skirt atau sarung sempit yang berbelah di bawah. ....

Demikian juga dengan amalan memakai tudung kepala pelbagai bentuk dan fesyen. Walaupun mereka berjaya menutup kepala dan rambut, namun masih mendedahkan tengkuk, leher serta sebahagian dada atau memperlihatkan bentuk dada dalam baju yang ketat.

Semua fenomena mendedahkan aurat itu adalah ciri amalan tabarruj, amalan kaum zaman jahiliah. Selain tradisi berpakaian, tradisi bersolek yang termasuk dalam amalan tabarruj kurang diberi perhatian. Seolah-olah larangan dalam hal ini tidak diketahui.

Keadaan wanita yang tidak terbabit dengan tabarruj ialah wanita yang tidak keluar rumah, tidak bercampur-gaul dengan lelaki bukan mahram dan apabila keluar, tetap memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya dan wajah mereka tanpa bersolek.

Golongan terbabit dengan tabarruj ialah wanita yang keluar rumah dengan berpakaian tidak sopan atau berpakaian ala Barat, mendedahkan banyak bahagian aurat atau berpakaian sopan tetapi tidak menutup aurat sepenuhnya atau berpakaian moden, ketat, singkat dan berbelah.

Allah mengetahui akibat baik dan buruk daripada segala tindak-tanduk hamba-Nya, termasuk akibat buruk daripada pendedahan aurat atau perlakuan tabarruj itu. Sehubungan itu, Allah mewajibkan wanita menutup aurat mereka.

Firman Allah bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isterimu dan anak perempuanmu serta wanita yang beriman, supaya melabuhkan jilbab mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. (Ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Mencari Ilahi

“BODOH!!” aku yang sedang melihat mereka menyembah dinding. Dah la mula-mula berdiri. Lepas tu tunduk separuh tubuh. Kemudian bangun balik, lepas tu sujud. Dah la ulang banyak kali. Tiap-tiap hari pulak tu. Mulut terkumat-kamit membaca mantera. “BODOH!!” getus nya dalam hati sekali lagi


Setiap hari aku tengok buat benda yang sama. Tak bosan ke?

Tapi tiada langsung tanda-tanda di wajah mereka tu ada tanda kebosanan.

Siapa kah mereka ini?

Apakah agama Islam yang mereka anuti itu adalah agama yang membebankan?

Aku terus memerhati. Sambil mencari makna yang tersembunyi,di dalam kehidupan sekelompok manusia bergelar Muslim.


***********************************************************************


Sedang aku duduk mengambil angin di sebuah taman, aku terlihat seorang lelaki muda berbaju putih. Setiap kali aku melihatnya, terdapat ketenangan yang terpamir di wajah nya walaupun sudah hampir dimakan usia. Ingin sekali aku memanggilnya untuk berbual, namun aku gusar. Bukan kan mereka itu dipanggil sebagai terrorist yang sering kali melakukan kemusnahan?

Tiba-tiba, dia melihat aku dengan wajah nya yang tersenyum. “Ah,mungkin dia perasan setiap hari aku melihat dia melakukan kerja bodoh menyembah dinding.” Getus aku di dalam hati. Dia berjalan menghampiri aku. “boleh saya duduk saudara ku?” soal lelaki tersebut. “sila kan.”



Di dalam hati nya kagum melihat kesopanan yang dipamerkan. “ah, mungkin pura-pura baik jer tu”, getus aku. Lelaki tersebut hanya tersenyum mendengar apa yang di keluarkan sebentar sahaja tadi.


“kenapa? Saudara takut saya membunuh saudara?” soal lelaki tersebut.

Hairan. Dia seolah-olah tahu apa yang berada di fikiran ku.


“nama aku wan talha. Kamu boleh panggil aku wan sahaja. Jangan risau. Aku takkan melakukan keganasan seperti yang kamu fikirkan.” Lembut sungguh suaranya. Tiada tanda yang dia seorang terrorist.


“bukan kah orang islam selalu melakukan keganasan? Membunuh kanak-kanak? Merogol orang lain? Adakah itu adalah satu keganasan?” satu-satu persoalan yang keluar dari mulut ku. Sengaja ku simbah minyak ke dalam api.


“Islam agama kami bermaksud kesejahteraan.” Suara wan tenang. Seakan-akan mengusap lembut jiwaku. Ditambah pula senyumannya yang manis itu.


“Dan kami tidak akan membawa apa-apa melainkan kesejahteraan”


“Bohong. Bukankah orang-orang dari agamamu yang menyalakan api kekacauan? Meruntuhkan World Trade Centre dan mengancam kedamaian ummat?” Aku tidak berpuas hati.


“kami berperang untuk membawa keamanan dan kesejahteraan” jawab wan.

Aku terkejut dengan jawapan yang diajukan. Wujudkah peperangan sebegitu


“Muhammad bin Abdullah yang gila seks dan dahagakan darah itu?”

Terkoyak senyuman wan. “Nyata kamu tidak mengenalinya. Kamu sekadar membaca tulisan orang-orang kamu, kemudian kamu menilainya dengan penilaian kamu. Bukankah itu tidak adil?”

Ya. Jujurnya, tidak adil. Aku mengetahui itu. Sekarang aku seakan terperangkap.


“Baginda Rasulullah SAW, berpesan kepada kami agar tidak memotong rumput dan kayu sebarangan jika berperang, tidak menganggu rumah ibadah, dan tidak memperapa-apakan perempuan dan anak kecil”


“kamu tahu mengenai pembukaan kota mekah? Di mana baginda mengampunkan segala penduduk yang menyeksanya suatu ketika dahulu?”

Aku terpempan dengan jawapan yang diberikan. Sedikit pun tidak mengubah riak wajah nya. Terasa ketenangan dengan jawapan yang diberi oleh nya .


“Bagaimana kamu boleh nyatakan bahawa baginda dahagakan darah?”


“Habis, kenapa ummat Islam hari ini mengganas? Membunuh orang, dan merosakkan kedamaian kehidupan masyarakat? Lihat apa terjadi pada negaraku hari ini. Kacau bilau dan ketakutan disebabkan orang Islam”


“Ketahuilah saudaraku…” Wan memandang aku. “Aku tidak percaya itu dilakukan oleh orang Islam yang betul-betul beriman kepada Allah SWT dan taat kepada rasul-Nya. Dan jika benar sekalipun orang Islam yang melakukan, maka itu bukan anjuran Islam. Dia telah terkeluar dari jalan Islam yang sebenar”


Aku tidak mampu berkata apa-apa. Jika aku hendak menyalahkan agamanya kerana tindakan penganut, maka pastinya aku akan tertimpa dengan serangan ke atas agamaku pula. Bukan sedikit paderi-paderi yang terdedah melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur. Itu belum dikira dengan kempen menentang keganasan yang membuahkan lebih banyak kerosakan.

Kulihat wan tersenyum. “Saudaraku, kami ini adalah yang berusaha untuk menonjolkan imej Islam yang bersih, agar kamu semua melihat kasih sayang Allah terhadap kamu. Rasulullah itu, datang dengan Islam, dan Islam itu membawa kesejahteraan pada seluruh ummat. Kami, sedang membuktikan itu”


Aku tunduk. Tujuan utama untuk memprovokasi umat Islam di kediamanku terpatah begitu sahaja.

“Jom saudara ku. Marilah ke rumah ku untuk membicara dengan lebih lanjut mengenai Islam ini”

“eh, boleh kah sebegitu?” soal aku

“sudah lah. Mari kita berangkat. Nama kamu siapa?”

“Bernard”

“sudah la Bernard. Mari ke rumah ku. Aku yakin di sana segala persoalan terjawab”


***********************************************************************

“Islam dengan orang Islam itu adalah dua perkara yang berbeza. Islam daripada Allah SWT, maka peraturannya solid dan sempurna. Tetapi pada masa yang sama, orang Islam adalah manusia yang mempunyai kelemahan. Ada yang berjaya memanifestasikan Islam, ada yang tidak berjaya. Tetapi masih lagi, jika kita mengambil Islam sebagai cara hidup, ketenangan akan muncul dalam jiwa kita”


Itu kata-kata Wan ketika aku menziarahi rumahnya.

Ketika aku sampai di sana, aku melihat rumah nya agak kecil. Namun seolah-olah ada kuasa ghaib yang menarik aku ke sana. Sebaik sahaja aku menjejakkan kaki kerumah nya, aku berasa seperti di syurga. Anak-anak nya begitu sopan apabila melihat aku. Isterinya cukup sopan dan menjaga pergaulan nya. Tidak seperti isteri aku yang berada di rumah. Berpakaian terdedah dan bergaul bebas dengan lelaki yang lain. Malu aku apabila melihat keluarga Wan.


“Islam ini, pada mereka yang faham, adalah 24 jam, sepanjang 7 hari. Yakni setiap masa. Tiada rehat dalam menjadi hamba Allah SWT. Maka, setiap masa perlu kekal terikat dengan peraturan Islam”

“Adakah kamu semua tidak penat?”

“Apakah kebahagiaan itu satu kepenatan? Di dalam Islam ini, peraturannya, membuatkan kami bahagia” Wan mengusap kepala anaknya yang comel itu, sambil memandangku.

Aku tersengih bila mengingati bicaranya itu. Agamaku, hanya wujud di hari ahad. Malah, bila melakukan dosa, boleh pula diampunkan hanya dengan membayar wang. Dari satu sudut, aku melihat itu satu manipulasi gereja untuk mereka yang berdosa. Bagaimana manusia yang berdosa, yang tidak sempurna, boleh mengampunkan manusia lain?


“Kamu mempercayai Allah. Justeru, di mana Allah?” Soalan yang aku tertanya-tanya selama ini. Hairan dengan orang Islam yang mampu taat, sedangkan tuhan mereka tidak kelihatan.


“Kamu hidup selama ini dengan menyatakan wujudnya nyawa. Justeru, di manakah nyawa?” Wan menjawab soalanku dengan soalan.

Mataku membesar. Jiwaku rasa tertusuk. Perasaan apakah ini?


“Allah itu amat dekat dengan kita wahai Bernard. Dia adalah Pencipta kita. Yang paling memahami kita. Yang memenuhi hak-hak kita.Yang memahami segala isi hati menusia”


“Bagaimana dia boleh membahagikan masa pada ramai manusia di atas muka bumi ini? Aku tidak nampak logiknya” Aku masih ragu-ragu.


“Adakah Tuhan perlukan logik manusia? Dia itu Tuhan Bernard. Tuhan. Dia tidak terikat dengan hukum-hukum yang mengikat manusia serta makhluk-mahkluk lain”


Dia itu Tuhan Bernard… Dia itu Tuhan… Tuhan…

Aku rasa tertampar-tampar. Ya, apakah jika benda yang dipahat oleh manusia, boleh dikatakan sebagai Tuhan? Apakah yang memerlukan orang lain, boleh menjadi tuhan?


“Keistimewaan Islam, kami ada rasa hubungan yang dekat dengan Allah SWT. Dia ghaib, tapi kami beriman dengannya. Tanpa ragu. Menyebabkan kami sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa dan waktu dalam memenuhi amanah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya. Ini juga membuatkan kami tidak takut, tidak mudah berputus asa, dan tidak merasa lemah”


Aku tersengih sendirian.

Perbualan-perbualan dengan Wan, membuatkan aku banyak berfikir.

Adakah kepercayaan, hubungan dengan tuhan ini, menyebabkan mereka seperti apa yang aku nampak?

Tenang, kuat, mempunyai maruah dan setiasa berkeyakinan?


“Tidakkah Islam ini ideologi Muhammad bin Abdullah sahaja?”

Wan menggeleng. “Islam itu adalah daripada Allah SWT. Rahmat pada sekalian alam. Rasulullah SAW hanyalah manusia yang dihantar untuk menyampaikannya, dalam keadaan baginda menjadi contoh hidup sebagai bukti bahawa Islam itu mampu diimplementasikan manusia”

Hatiku bergetar.

Islam…

Allah…



**********************************************************************



“Di dalam Al-Quran ini, ada petunjuk”

“Aku bukan orang Islam”

“Tidak semestinya orang Islam sahaja yang perlu membaca Al-Quran”

Dan aku mula mengkaji. Perbincangan dan perbahasan dengan Wan tempoh hari membuatkan aku dahagakan kebenaran. Aku mula melihat betapa Islam ini adalah satu sistem hidup yang patut dijadikan panduan.


Aku yang awalnya mengkaji Al-Quran untuk mencari kelemahannya, kini tidak mampu lagi menahan perasaan hati yang akan bergetar hebat setiap kali membaca ayat-ayat yang dikatakan kalam tuhan itu.

Pertama kali mengkhatamkan terjemahannya, aku berkata di dalam jiwa:

“Ini bukan kalam manusia”

Semestinya. Aku tidak silap akan itu. Tiada kecacatan, malah pemilihan perkataan yang digunakan, adalah yang paling sesuai pada tempat yang hendak dinyatakan. Tiada percanggahan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain. Jika ada kekeliruan, sentiasa ada penjelasannya. Malah, satu sistem hidup yang cantik dapat dilihat daripada Al-Quran ini.

Aku jadi rasa tidak cukup, lantas aku mengkaji kehidupan Muhammad bin Abdullah. Aku selak hadith-hadithnya. Aku teliti perjalanan kehidupannya.


Akhirnya aku tidak menjumpai apa yang dinamakan kecacatan.Yang selama ini membuat tohmahan daripada kaumku, aku dapat merasakan mereka mempunyai niat yang busuk. Mereka sekadar memotong-motong juzu’ hidup Muhammad bin Abdullah ini, tanpa mengungkit pula bahagian lain yang mengimbangi tindakannya pada bahagian yang disebutkan tadi.

Yang ada hanya kebenaran.


Jiwaku seakan meronta-ronta.

Aku inginkan kebenaran!

Tuhan, apakah Kau membenarkan?

Sekarang aku mahu bukti yang terus daripada Tuhan yang bernama Allah ini.

Ya, aku ingin mencabarnya. Buktikan bahawa Dia benar. Aku tidak mahu mendengar kata orang lain. Aku tidak mahu bergantung pada buku. Aku sudah puas mengkaji. Sekarang, aku ingin Dia sendiri keluar membuktikannya kepadaku.


****************************************************************************

Malam itu begitu tenang. Sungguh menenangkan jiwa aku yang serabut dengan pelbagai persoalan. Aku berjalan keluar sambil membawa sekotak lilin. Aku membina satu medan yang dinamakan sebagai medan spiritual.

Aku percaya bahawa Allah itu ada di dimensi lain. Dan hendak memanggil-Nya keluar, aku kira perlu menggunakan cara ini.”Mungkin ini lah malam nya” getusnya dalam hati


Aku memegang Al-Quran, membaca-bacanya dalam bahasa arab mengikut ajaran Wan selama ini. Aku sudah boleh membaca Al-Quran dalam bahasa aslinya. Lebih menusuk, lebih memberikan kesan.

Sampai ke satu muka surat, aku berhenti. Aku mengambil nafas. Aku rasa sudah bersedia untuk memerhatikan tanda, keajaiban secara langsung daripada Allah SWT.


“Ya Allah!” Aku menjerit.

“mungkin inilah masanya untuk aku memeluk agama Islam.Agama kebenaran yang telah engkau sampaikan kepada Muhammad bin Abdullah.Aku hanya memerlukan sedikit sahaja tanda kekuasaan Mu”

Sunyi. Sepi. Aku sendiri dan tiada apa-apa berlaku. Di dalam kepalaku, aku mengharapkan lilin-lilin tadi menjadi api marak menjulang atau ada makhluk datang memberitahu aku itu dan ini.

Tetapi tetap tiada apa yang berlaku.


“Allah, ini peluang kau. Kalau tak, aku tak akan menerima Islam ini” Aku mengugut.

Aku hendak Allah muncul sendiri, atau paling kurag menunjukkan tanda.

“Bukankah Kau sangat berkuasa Ya Allah. Tunjukkan kekuasaan-Mu itu sekarang!”

Masih sunyi sepi. Yang menemaniku hanya desiran angin yang mask melalui tingkap.

Aku menggeleng. Mungkin Allah sibuk. Itu fikiranku.


“Tak mengapa. Aku masih memberikan Kau peluang. Aku akan tunggu petanda Kau di sini, dan Aku tidak akan berganjak!” Aku bersemangat dan bertegas.

Maka, aku memilih untuk menyambung pembacaan Al-Quranku tadi.

Kuselak muka surat sebelah untuk menyambung pembacaan.

Ayat itu kubaca.


“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” Surah Al-Baqarah ayat 164.


Dunia seakan menjadi terlalu sunyi. Aku seakan terserap ke dalam alam lain. Bulu romaku meremang naik. Tubuhku bergetar hebat. Pada pemikiranku mula muncul awan tanpa tali, bumi yang berputar pada paksi tetapi tiada yang menjadi paksinya, planet-planet yang bergerak dengan kemas di dalam orbit tanpa berlanggaran, kitaran hidup haiwan dan tumbuhan, kitaran air, kadar udara yang sangat-sangat sempurna, peredaran darah di dalam tubuh manusia, dan 1001 lagi kejadian yang menakjubkan yang berlaku dalam kehidupan manusia.

Air mataku mencucur.

Allahuakbar.

Allahuakbar.

Allahuakbar.

Aku sujud.


“Sesungguhnya aku naik saksi, tiada tuhan melainkan Alla, dan Muhammad itu Utusan Allah”


DI ILHAMKAN DARIPADA KISAH STORY OF RUBEN DAN KARYA HILAL ASYRAF